Skip to main content

Keputusan saman Musa Aman terhadap Shafie pada 7 November


KOTA KINABALU -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Nov sebagai tarikh untuk memberikan keputusan berhubung saman pemula bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang baru.
Hakim Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari kedua-dua parti yang mengambil masa empat jam.
Peguam S.Vanugopal yang mewakili Musa berhujah bahawa anak guamnya sebagai pemimpin parti politik BN-Sabah, tidak pernah kehilangan sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada bila-bila masa, kerana makna perkataan “majoriti” di bawah Artikel 6(7) perlembagaan Sabah tidak bermakna sokongan sekurang-kurangnya 31 daripada keseluruhan anggota Dewan itu yang berjumlah 60 orang.
Beliau berkata pada Pilihan Raya yang lepas, BN-Sabah memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Parti Warisan Sabah memenangi 21, dan oleh itu secara teknikalnya anak guamnya memenangi majoriti atau kebanyakan daripada kerusi dalam Dewan, dan selaras dengan Artikel 6(7), pemimpin parti politik yang berdaftar berhak untuk dilantik sebagai Ketua menteri.
“Mengikut Perlembagaan, itu sahaja yang diperlukan oleh Tan Sri Musa untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Walaupun selepas enam Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikrar menyokong defendan kedua (Mohd Shafie) pemimpin Parti Warisan Sabah, Tan Sri Musa masih terus mendapat sokongan baki 23 ADUN BN-Sabah, yakni jumlah kerusi yang masih lebih banyak berbanding Parti Warisan Sabah yang hanya mempunyai 21 kerusi,” katanya.
Beliau berhujah bahawa apa yang dimaksudkan Artikel 6(7) sebagai sebuah parti politik, ialah parti politik yang berdaftar dan bukan gabungan parti-parti politik.
Katanya BN-Sabah adalah sebuah parti politik berdaftar manakala Parti Warisan Sabah, DAP, PKR dan UPKO adalah gabungan parti politik semata-mata.
Beliau berkata Yang Dipertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin yang merupakan defendan pertama) membuat kesilapan besar apabila menyimpulkan bahawa gabungan Parti Warisan Sabah bersama DAP, PKR, UPKO, menjadi sebuah parti politik.
Sementara itu Peguam Negeri Zaleha Rose Pandin yang mewakili Juhar pula berhujah bahawa berdasarkan Artikel 7(1) Perlembagaan Sabah, Musa perlu mengosongkan jawatannya selepas beliau tidak lagi menguasai sokongan majoriti.
“Adalah mandatori bagi plantif (Musa) untuk melepaskan jawatannya selepas beliau kehilangan majoriti, tapi beliau enggan,” katanya dan menambah tidak perlu bagi defendan pertama mengenepikan plantif daripada jawatannya, tapi berdasarkan Artikel 7(1), perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri adalah automatik.
Dengan merujuk kepada kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau berkata kes berkenaan mempunyai persamaan dengan kes ini, dan plantif perlu secara mandatori melepaskan jawatan kabinet selaras dengan arahan Artikel 7(1) dan perlu mengosongkan pejabatnya.
Peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie pula berhujah bahawa jelas plantif telah hilang sokongan majoriti selepas enam ADUN dalam pernyataan statutori menyatakan sokongan mereka kepada defendan kedua (Mohd Shafie).
“Tidak ada asas perundangan bagi plantif menuntut bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah, memandangkan mandatori baginya untuk meletak jawatan dalam kabinet berdasarkan kepada Artikel 7(1),” katanya.
Douglas berhujah bahawa anak guamnya memperoleh sokongan majoriti dan defendan pertama tahu bahawa plantif kehilangan sokongan itu, oleh yang demikian dia berhak untuk melaksanakan budi bicara prerogatifnya bagi melantik orang yang pada pandangannya memiliki sokongan majoriti.
Musa pada 17 Mei lepas menfail satu writ saman, tapi kemudian menariknya kembali, namun pada Jun lepas, beliau menfail saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan, antaranya daripada mahkamah bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dilantik pada 10 Mei lepas oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam saman pemula itu Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan penggantinya Mohd Shafie sebagai defendan kedua, dan mahukan pengisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei adalah tidak sah, lapor Bernama.
Beliau memohon bagi mendapatkan pengisytiharan yang mengatakan beliau kekal dan sah sebagai Ketua Menteri, dan pengisytiharan bahawa tidak ada penarikan balik atau pembatalan dalam pelantikannya.
Musa juga memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa defendan pertama (Juhar) bertindak tidak mengikut perlembagaan dalam melantik Mohd Shafie ke kabinet negeri dan pengisytiharan bahawa semua yang dilakukan oleh Shafie dan/atau yang dikatakan kabinetnya, selepas ‘apa yang dikatakan sebagai pelantikannya sebagai Ketua Menteri’, adalah terbatal, tidak sah serta tiada kesan dan ‘merosakkan’ dari kedua-dua defendan.
Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-14 lepas, namun kehilangan majoriti selepas beberapa ADUN dari partinya, Umno, serta ADUN dari parti komponen BN, UPKO, melompat parti, untuk memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...