Skip to main content

Ketua penolong pengarah Mara didakwa terima rasuah RM3,000


KUALA LUMPUR -- Seorang ketua penolong pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 daripada seorang peniaga berhubung penyambungan kontrak penyewaan lot niaga di sebuah pusat beli-belah, empat tahun lepas.

Azmi Umar, 42, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa sebagai Pegawai Mara yang bertugas di Pejabat Mara Daerah Shah Alam telah secara rasuah bersetuju untuk menerima satu suapan daripada seorang peniaga Sarabano Noor Mohamed, 44  manakala untuk pertuduhan kedua, dia dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang RM3,000 daripada Sarabano.

Ia  sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu untuk Panel Jawatankuasa Mara bagi meluluskan penyambungan kontrak penyewaan Lot No. G12 dan Lot No. G13 di Anggerik Mall, Shah Alam yang telah tamat tempoh pada 30 Jun 2014.

Bagi pertuduhan bersetuju menerima suapan, Azmi yang masih bujang itu dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memperoleh wang untuk diri sendiri, tertuduh didakwa  mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu  di  Hotel JW Marriot, Jalan Bukit Bintang  di sini pada 10.45 pagi dan 12.45 tengah hari, 29 Ogos 2014.

Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur sehingga kes selesai

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam A.S Dahliwal  memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan serta dia penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan  menetapkan 2 Nov untuk sebutan semula kes.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...