Skip to main content

Kini lebih sukar menjadi perdana menteri


SHAH ALAM -- Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menjadi perdana menteri dalam senario politik masa kini lebih sukar kerana beliau tidak lagi memimpin sebuah parti dominan dalam kerajaan.
Beliau turut mengakui situasi hari ini berbeza berbanding ketika zaman beliau memegang jawatan tersebut selama 22 tahun dalam pentadbiran terdahulu.
"Dulu pimpin parti dominan kita ada suara terbesar di mana yakin apa yang dicadang mendapat sokongan. 
"Sekarang kita ada empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang berbeza ideologi. Jadi kalau saya nak buat sebarang keputusan, saya perlu 'convince' (yakinkan) parti-parti dalam PH," katanya dalam program Bicara Minda yang dikendalikan wartawan veteran, Tan Sri Johan Jaaffar di Dewan Karangkraf di sini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau terpaksa menyesuaikan pemikirannya dengan aliran sosialisme dan liberalisme dalam kalangan pemimpin PH.
"Ada mirip pemikiran sosialisme, ada liberalisme. Jadi saya terpaksa terjemahkan sesuatu perkara ini untuk disesuaikan dengan pelbagai aliran pemikiran yang ada,” katanya.
Dr Mahathir turut menarik perhatian bahawa ketika beliau menjadi perdana menteri pada 1981, keadaan kerajaan serta negara berada dalam keadaan tersusun, di mana ketika itu beliau hanya membuat keputusan dan jentera kerajaan akan membuat kerja.
Namun, beliau berkata sebaliknya berlaku ketika ini apabila kerajaan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu sangat teruk.
Perdana menteri juga menyifatkan dakwaan bahawa PH adalah anti Islam serta pendukung liberal dibuat oleh musuh kerajaan.
Menyentuh mengenai kebebasan media, Dr Mahathir berkata media kini lebih bebas berbanding ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
Katanya, beliau mengamalkan toleransi terhadap media sejak menjadi perdana menteri keempat lagi bermula 1981.
Malah, Dr Mahathir berkata, beliau tiada masalah berdepan dengan media kerana memberinya peluang untuk menjelaskan sesuatu isu.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menghantar menteri-menteri Kabinet menghadiri kursus untuk meningkatkan prestasi mereka.
"Sekolah ada tetapi tak formal, kita tak masukkan mereka dalam kelas, tetapi ada usaha untuk meningkatkan kebolehan mereka melalui kursus yang akan diadakan di Intan (Institut Tadbiran Awam Negara)," katanya.
Sebelum ini wartawan veteran, Datuk A.Kadir Jasin yang juga penasihat media dan komunikasi perdana menteri berkata, pemimpin PH yang memegang jawatan perlu ‘disekolahkan’ sebelum rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan sekarang. 
Kadir dilaporkan berkata menteri akan mendapat kebaikan jika 'disekolahkan' bagi mengubah acuan minda mereka daripada pembangkang kepada kerajaan.
Dr Mahathir juga berpendapat kerajaan pada masa kini memerlukan pembangkang di Dewan Rakyat dalam usaha menjadi semak dan imbang kepada kerajaan. 
"Parti lawan penting. Kalau tak ada mereka, ia ibarat melihat diri sendiri dalam cermin. Kita tengok rupa sendiri cantik tapi orang lain tak begitu," katanya.
Mengenai tuduhan bahawa beliau mengamalkan ‘flip-flop’ dalam keputusan kerajaan, Dr Mahathir mengakui kerajaan PH pada masa kini tidak dapat melaksanakan semua janji pilihan raya dan terpaksa membuat sedikit penyesuaian.
Perdana menteri berkata ini kerana, kerajaan berdepan dengan keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan.
"Kalau orang nak kata 'flip-flop' (kerana) terpaksa ubah, tak apalah," katanya, lapor Bernama.
Sementara itu menjawab soalan daripada seorang penonton sama ada kerajaan PH akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat, beliau berkata buat masa ini kerajaan belum bercadang berbuat demikian dengan mengambil kira ketidakseimbangan jumlah komposisi kaum di bandar dan luar bandar.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...