Skip to main content

Laluan mudah yang sengit untuk Anwar


KUALA LUMPUR -- Sudah lima hari kempen berlangsung pada Pilihan  Raya Kecil (PRK) Port Dickson namun keadaan nampaknya masih 'tenang'  walaupun PRK keempat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu menampilkan pertandingan tujuh penjuru.
Meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan ditentang enam orang termasuk lima calon Bebas, ramai masih  beranggapan Ketua Umum PKR itu mampu memenangi PRK berkenaan dengan majoriti undi besar.
Anwar berdepan calon PAS yang mempertaruhkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar manakala lima calon yang bertanding atas tiket Bebas adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan satu-satunya calon wanita, Lau Seck Yan.
Untuk memastikan kemenangan dalam tangan, jentera Pakatan Harapan (PH) mengatur kempen berstrategi sepanjang hari khususnya untuk menjelaskan isu-isu utama yang dihadapi negara kepada penduduk Port Dickson.
PH menyedari bahawa ia tidak boleh mengambil mudah tentangan khususnya daripada Mohd Isa dan  Mohd Nazari kerana kedua-dua calon itu mampu memberi saingan sengit dan mengurangkan jumlah majoriti undi Anwar.
Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRK itu yang akan diadakan 13 Okt ini.
PRK Port Dickson diadakan  selepas penyandang kerusi Parlimen berkenaan Datuk Danayal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi  berkenaan pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Parlimen, sekiranya menang.
Ia juga antara perancangan bagi memudahkan peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar, seperti yang dipersetujui oleh empat parti dalam PH iaitu DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.
PRK itu juga diadakan dalam tempoh empat bulan selepas PRU14 pada Mei lalu,yang menyaksikan dominasi Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun ditumbangkan PH bagi membentuk kerajaan baharu.

SAINGAN SENGIT

Melihat kepada calon-calon yang bertanding, saingan daripada 'órang lama'  seperti Mohd Isa dilihat mampu menjejaskan laluan mudah Anwar.
Penganalisis politik Mohd Roslan Saludin, bekas felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata walaupun Mohd Isa tidak mampu menewaskan Anwar namun bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu boleh memberi saingan sengit.
“Dengan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, ia pastinya memberikan Mohd Isa kelebihan berdasarkan latar belakang kerjaya dan pengalaman luas beliau.
“Sudah tentu beliau mempunyai rangkaian yang baik semasa berkempen untuk meraih undi para penduduk Port Dickson khususnya mereka yang berumur 40 tahun ke atas,” katanya kepada Bernama.
Pengalaman Mohd Isa juga membolehkan beliau mengatasi calon-calon lain yang bertanding.
Mohd Isa, 69, yang juga bekas Pengerusi Felda, pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri di Linggi dan Bagan Pinang yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson.     
Turut dilihat boleh​ memberikan saingan kepada Anwar ialah Mohd Nazari, 57, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang juga Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).
Roslan berkata Mohd Nazari, yang berasal dari Batu Pahat, Johor, mungkin kurang dikenali namun beliau boleh meraih undi simpati terutamanya daripada kalangan pesara tentera dan anggota tentera yang menjadi pengundi di Port Dickson selain para penyokong PAS.
Beliau pula menganggap Mohd Saiful Bukhari, 33, dari Johor Bahru bertanding sekadar untuk menonjolkan agenda peribadinya pada PRK itu.
Bekas pembantu Anwar itu mengakui penyertaannya pada PRK itu adalah semata-mata untuk menghalang bekas majikannya itu daripada kembali ke Dewan Rakyat dan seterusnya menjadi perdana menteri.

STRATEGI CALON

Kesedian PAS meletakkan calon bekas pegawai kanan TUDM dilihat tindakan matang parti pembangkang itu dalam mengatur strategi untuk memberi saingan kepada Anwar.
Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata pengalaman Mohd Nazari  dalam ilmu keagamaan, organisasi dan ketenteraan menjadikan beliau antara calon popular PRK itu.
"​​​​Beliau tidak menolak kemungkinan Mohd Nazari mampu memperoleh banyak undi pos daripada pegawai dan anggota tentera yang menjadi pemilih di Port Dickson.
“Walaupun bukan anak tempatan, Mohd Nazari memiliki pendidikan akademik yang baik dalam bidang pertahanan dan pengurusan. Pengalaman beliau yang meluas dalam TUDM memberi pengaruh kuat  kepada para pengundi dalam kalangan tentera di Port Dickson.
“Kesetiaan dan kekaguman tentera dan unit beruniform pasti memberi kesan besar dari segi penjumlahan undi dari kalangan golongan tentera apatah lagi ketokohan beliau yang cenderung kepada pengurusan Islam dan pernah menyandang jawatan-jawatan tinggi di peringkat parti PAS,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Agil berkata penyertaan Mohd Isa pada PRK itu adalah untuk memecah undi untuk Anwar.
Beliau juga dijangka membangkitkan isu-isu bersandarkan pengalamannya bersama Anwar semasa berada di dalam dan di luar UMNO, yang sekali gus berpotensi mengurangkan lagi undi popular Anwar.
"Lain-lain calon seperti Mohd Saiful Bukhari dan tiga calon mewakili kaum Cina boleh dikategorikan sebagai kurang popular dan tidak memberi kesan besar kepada Anwar," ujarnya.

AGENDA NASIONAL

Bagi merealisasikan kesepakatan PH menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, PH dilihat mengangkat isu dan agenda nasional pada PRK itu.
"Ramai mahu melihat peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar. PRK Port Dickson adalah medan bagi melaksanakan apa yang dijanjikan itu," kata Roslan.
Pada masa sama, beliau berpendapat calon-calon lain tidak mungkin dapat menampilkan isu-isu besar yang boleh mengalihkan perhatian pemilih daripada mengundi Anwar dan PH.
Menurutnya calon-calon itu dilihat masih 'terkial-kial' menggerakkan jentera sedangkan PH sudah sangat bersedia dengan perancangan rapi untuk memenangi PRK itu.
“Jentera pilihan raya PH masih kental semangatnya kerana akhirnya berjaya menumbangkan BN  setelah lebih 20 tahun mencuba.
“PH telah pun mencapai agenda nasionalnya untuk mengalahkan BN. PRK Port Dickson hanyalah untuk melengkapkan perancangan besar PH (menjadikan Anwar perdana menteri)," katanya.
Sependapat dengan perkara itu, Syed Agil berkata PRK Port Dickson adalah medan penting bagi Anwar untuk menunjukkan kehebatan dan keupayaannya untuk mewakili penduduk Port Dickson, sekali gus mencipta sejarah dengan menjadi perdana menteri dari kawasan Parlimen itu.
Beliau berkata Anwar, yang petah berbicara, dilihat dapat memberikan pandangan, kritikan dan jawapan yang dinanti-nantikan para penduduk Port Dickson terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan PH, isu kedaulatan Raja-Raja dan kepentingan orang Melayu.
Mereka juga pastinya mahu mendengar tentang perancangan Anwar dalam membawa 'wajah dan nafas baharu' kepada Port Dickson khususnya untuk memajukan kawasan itu sebagai pusat pelancongan popular di negara ini.
“Sudah tentu penduduk Port Dickson melihat Anwar adalah calon yang dapat memajukan kawasan itu dengan lebih baik, selain keupayaannya memimpin kerajaan PH dengan lebih prograsif sekiranya beliau menjadi perdana menteri nanti,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Proton SUV open for booking at RM1,000

KUALA LUMPUR -- National car maker, Proton Holdings Bhd, is adopting an alphanumerical naming system for its future models beginning with the X70, its first sport utility vehicle (SUV). Sales and Marketing Vice-President Abdul Rashid Musa said the letter X is synonymous with crossover or SUV vehicles, while the number 70 denoted the size or class of the SUV and would enable Proton to adopt a logical system to add bigger or smaller models in the future. “This is the first time an alphanumerical naming system is used on a Proton model as our research shows it will make it easier to sell in ASEAN and other international markets, as there are no language barriers to overcome,” he told reporters at the preview of the new SUV. Proton Chief Executive Officer Dr Li Chunrong said Proton's adoption of the new naming system would make customer more focus on the brand name as compared with the model name. Abdul Rashid, who is also the Chief Executive Officer o...

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Hujan lebat di Kelantan dijangka berlanjutan ke Januari

KOTA BHARU -- Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan episod hujan lebat berkemungkinan akan berlanjutan ke bulan Januari tahun hadapan di negeri ini. Pengarahnya Rabiah Zakaria berkata ia berikutan Kelantan masih dipengaruhi Monsun Timur Laut pada bulan berkenaan. "Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan akan berlaku empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut pada tahun ini dengan purata jumlah hujan antara 440 milimeter (mm) hingga 690mm bagi bulan Disember ini di Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Rabiah berkata setakat ini empat episod hujan lebat telah berlaku di pantai timur termasuklah yang sedang berlaku sekarang. Beliau berkata pemantauan masih lagi diteruskan dari semasa ke semasa bagi menentukan kemungkinan tersebut kerana bulan Disember belum berakhir. "Jika ramalan itu berlaku, ia sedikit sebanyak mungkin akan memberi kesan kepada persediaan untuk sesi persekolahan baharu tahun ...