PORT DICKSON -- Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan sebarang fitnah atau tuduhan kerana mahu fokus sepenuhnya berkempen dalam usaha memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Ketua Umum PKR itu berkata beliau telah melalui pelbagai tuduhan hampir 20 tahun dan meminta pihak yang terlibat supaya mencari modal lain bagi menentangnya.
"Saya mahu terus dengan kerja saya, 20 tahun dah saya lalui ini (fitnah), sudahlah... saya juga ingin beri nasihat kepada (Datuk) Lokman Noor Adam (anggota Majlis Tertinggi UMNO) sudahlah, carilah modal lain.
“Malah bila Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR) membuat laporan polis pun, beliau tidak memaklumkan saya. Kalau maklum pun, saya akan buat tidak tahu sahaja... malas saya nak fikir,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.
Semalam, Lokman Noor menerusi satu kiriman dalam akaun Facebook miliknya memetik sumber berita kononnya dari Mediacorp di Singapura yang mendakwa kononnya Anwar disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara itu.
Pihak Mediacorp kemudiannya menafikan laporan berita tersebut dan semakan juga mendapati Lokman Noor telah memadamkan kiriman berkenaan di akaun Facebooknya.
Justeru, Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR berkata sebagai seseorang yang beradab dan berakhlak, Lokman Noor sepatutnya mengemukakan permohonan maaf kepadanya.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata pihaknya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson hari ini berhubung tindakan Lokman Noor itu.
"Saya telah membuat laporan polis ini kerana beranggapan bahawa ia merupakan satu kenyataan cukup jahat yang penuh tohmahan dan fitnah dan cuba mengubah persepsi umum terhadap Datuk Seri Anwar," katanya.
Ahmad Fahmi berkata, walaupun hantaran itu telah dipadam, namun ia sempat ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp dan tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.
Comments
Post a Comment