Skip to main content

Malaysia perlu dua tahun untuk pulih


BANGKOK -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan baru boleh menetapkan asas pemulihan ekonomi negara dalam tempoh dua tahun dan seterusnya membuka laluan untuk mengembalikan kegemilangannya sebagaimana sebelum ini, semasa ia mendapat gelaran “Harimau Asia”.
Beliau berkata proses pemulihan sedang berjalan dengan baik dalam negara ketika ini, dan ekonomi negara pastinya akan pulih nanti.
“Pemulihan penuh mungkin mengambil masa bertahu-tahun lamanya, tapi saya harap dalam tempoh setahun atau dua tahun kita boleh tetapkan asas pemulihan buat Malaysia,” katanya semasa berucap di sesi dialog bersama komuniti Malaysia di sini, sebelum sesi soal jawab bersama para hadirin.
Perdana Menteri berkata Malaysia ketika ini bagaikan ‘harimau separuh nyawa”, namun beliau tetap optimis satu hari nanti ia akan kembali mencapai kegemilangan sebagaimana sebelum ini.
Katanya beliau percaya kepada barisan menteri yang baru dilantik, walaupun ada kalangan mereka tidak pernah menjadi anggota pentadbiran kerajaan, dan sesetengahnya mengaku bagaikan berada dalam keadaan “gayat”.
"Saya harap nanti tiba masanya kerajaan kita akan dapat menangani semua masalah yang dihadapi negara. Dari segi jentera pentadbiran saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang baik, walaupun mereka masih baharu, mereka cepat belajar. Saya menaruh kepercayaan kepada keupayaan mereka untuk berkhidmat dengan baik sebagai menteri dalam kerajaan baru,” katanya, lapor Bernama.
Dr Mahathir yang menerajui kerajaan selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat, sebelum dilantik kembali sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 bersama Pakatan Harapan berkata, masalah pertama yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu adalah untuk menyelesaikan soal hutang negara yang berjumlah lebih RM1 trilion yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
"Kita belum pernah dengar perkataan trilion sebelum ini, tapi sekarang dah jadi perkataan biasa, ia adalah jumlah wang yang kerajaan hutang, yang perlu kita bayar, sukar untuk cari wang untuk bayar hutang ini,” kata beliau yang berada di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari.
"Kita pernah ada satu dana, dinamakan “Tabung Harapan” di mana orang ramai boleh menderma, tapi kita tak mahu dilihat seolah-olah menerima ‘hadiah’ daripada orang ramai, sebab kerajaan ini amat serius dalam membanteras rasuah dalam kerajaan,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...