Skip to main content

Mayat kesembilan dibawa keluar daripada kedalaman lima meter


GEORGE TOWN -- Mayat kesembilan mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemui tertimbus sedalam lima meter dalam runtuhan tanah, kata  Timbalan  Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah.
Beliau berkata mayat Mohamad Uzzal, lelaki warga Bangladesh, ditemukan berhampiran kontena terakhir pada pukul 5 petang.
"Mohamad Uzzal (33 tahun) yang sebelum ini dikenali sebagai Ujal ialah seorang daripada dua mangsa yang dikhuatiri hilang. Mayatnya ditemui dalam keadaan sempurna dan rakannya yang berada di lokasi membuat pengecaman dan mengesahkan itu adalah Uzzal," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya percaya mangsa terakhir Md Rahaz yang sebelum ini dikenali sebagai Rahat berada di kawasan berhampiran dengan mayat Uzzal ditemukan.
Pasukan penyelamat sedang menggali sedalam kira-kira lima meter lagi di kawasan sekitar penemuan mayat Mohamad Uzzal untuk mencari mangsa lain yang tertimbus.
"Kontena terakhir yang kami temui itu hancur dan kami tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi mayat lain di kawasan sekitar kontena itu," katanya.
Mohamad Shoki berkata keadaan cuaca baik dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan  sehingga semua kerja-kerja pembersihan di kawasan sektor tiga itu selesai.
Sehingga pukul 7 malam ini, sembilan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.
Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...