Skip to main content

Menteri dan timbalan menteri diminta berdisiplin


KUALA LUMPUR -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon meminta menteri dan timbalan menteri untuk lebih berdisiplin menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Katanya, walaupun mempunyai tanggungjawab lain sebagai anggota pentadbiran kerajaan, namun mereka perlu mengatur jadual tugas dengan baik agar boleh juga hadir ke Parlimen.
"Saya tahu menteri, timbalan menteri sibuk, saya tahu mereka ada jadual yang waktunya sama ketika dewan bersidang, bagi pihak Parlimen kita minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan. 
"Kalau menteri tidak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat, mungkin keutamaan hadir ke program lain boleh diatur dengan cara lebih baik lagi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Beliau diminta mengulas insiden di dalam dewan ketika sesi soal jawab lisan hari ini di mana menteri atau timbalan menteri dari Kementerian Dalam Negeri tidak berada di dalam dewan ketika soalan berkaitan kementerian itu dikemukakan.
Soalan itu berada pada nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dikemukakan Ali Anak Biju (PH-Saratok) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan status dan perancangan pembinaan Ibu Pejabat Polis Saratok yang baharu bagi menggantikan Ibu Pejabat Polis sekarang.
Soalan itu kemudiannya dijawab Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin bagi pihak Menteri Dalam Negeri.
Keadaan itu tidak disenangi Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang kemudiannya bangkit menggesa agar satu peraturan dibuat supaya menteri dan timbalan menteri dapat hadir jika soalan mengenai kementerian masing-masing dikemukakan.
Mengulas mengenai insiden itu, Rashid berkata perkara itu tidak menjadi isu kerana Peraturan Mesyuarat 24, Dewan Rakyat menyatakan mana-mana menteri boleh menjawab soalan yang dikemukakan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak perlu membuat peraturan.
"Keadaan hari ini mungkin berlaku kerana kita percepatkan sesi soal jawab lisan, selalu hanya sampai kepada soalan keenam, ketujuh atau kelapan, tapi kali ini sampai kepada soalan ke-13 dan ke-14, tambahan pula ada empat orang anggota Parlimen yang sepatutnya bertanya soalan tetapi tidak hadir," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang hadir ke Parlimen selepas Dewan Rakyat bersambung petang ini berkata beliau tidak menyangka sesi soal jawab lisan hari ini sampai kepada soalan itu kerana kebiasaannya sesi tamat pada soalan nombor lapan atau sembilan sahaja.
Katanya, secara kebetulan lagi, ketika itu beliau dan menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menghadiri acara rasmi di kementeriannya mengenai pemberian kewarganegaraan menyebabkannya tidak dapat berada di Dewan Rakyat.
"Kita pun tidak sangka ada empat anggota Parlimen (yang sepatutnya bertanya soalan mengikut aturan urusan meysuarat) tidak datang di mana ini  jarang berlaku, tapi kita sudah bincang dengan kementerian tadi dan kita ambil maklum dan kita minta pegawai bersedia di Parlimen kalau ada kes kecemasan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...