SHAH ALAM -- Kabinet memutuskan untuk tidak membenarkan anggota jemaah menteri membawa pasangan masing-masing ke luar negara sekiranya lawatan kerja rasmi kurang daripada tujuh hari, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata arahan itu yang berkuat kuasa serta-merta merupakan satu langkah penjimatan dalam perbelanjaan awam.
"Kalau lawatan kerja dalam 1-2 hari itu, tidak boleh lagi bawa isteri dan tidak lagi ditanggung kerajaan," katanya pada program Bicara Minda bertajuk Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf.
Ketika ditemui pemberita selepas program itu, Mohamed Azmin berkata arahan itu diputuskan Kabinet sebab berpandangan bahawa lawatan kerja rasmi adalah bersifat kerja dan tidak perlu melibatkan anggota keluarga khususnya isteri.
"Antara garis panduan yang ditetapkan adalah sekiranya lawatan kerja kurang tujuh hari, maka menteri itu boleh pergi dengan dua orang pegawai sahaja (ke luar negara).
"Kalau (menggunakan) perbelanjaan sendiri dan lawatan kurang tujuh hari, menteri tersebut boleh bawa (isteri)," katanya.
Mohamed Azmin berkata anggota jemaah menteri dibenarkan membawa pasangan masing-masing sekiranya lawatan kerja itu melebihi tujuh hari.
Beliau bagaimanapun berkata arahan tersebut tidak tertakluk kepada perdana menteri berikutan isterinya perlu menjalankan tugas sebagai isteri perdana menteri di negara yang dilawatinya.
Comments
Post a Comment