Skip to main content

PD Move berjaya dan dianggap cipta sejarah sendiri


PORT DICKSON -- Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson malam ini, dianggap satu sejarah dalam kalangan pemimpin PH. 
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kemenangan itu satu kejayaan manis apabila Anwar berjaya ‘menakluki’ kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen  Port Dickson. 
“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, kita menang di DUN Chuah, Lukut dan Sri Tanjung dan kalah di Bagan Pinang dan Linggi sebab dikatakan orang Melayu tidak sokong Pakatan Harapan (PH) tetapi hari ini kita turut menang di dua tempat yang kita kalah sebelum ini. 
“Sebab itu saya katakan ini suatu kemenangan manis membuktikan penduduk yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India telah hantar isyarat jelas kepada seluruh negara bahkan seantero dunia mereka mahu Anwar wakili mereka ke Parlimen,” katanya dalam ucapan di sini, hari ini. 
Dalam pada itu, Pengerusi PH yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata sejarah sudah tercipta di Port Dickson dan rakyat ingin melihat perubahan terhadap kawasan berkenaan.
“Dengan kejujuran kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya yakin kita mampu bawa perubahan. 
“Tidak ada rasuah dan salah guna kuasa, saya harap dengan sejarah tercipta ini kita ke hadapan dengan lebih telus. Pemimpin juga harus bekerja lebih keras,” katanya. 
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata respons daripada penduduk Port Dickson amat positif dan terbukti dengan majoriti lebih 23,000 undi, lebih hampir 6,000 undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
“Keputusan ini juga jelas menunjukkan warga Port Dickson mahu Datuk Seri Anwar menjadi wakil mereka dan boleh dikatakan, tujuh daripada 10 rakyat di sini sokong beliau,” katanya. 
Pemimpin veteran yang juga Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kemenangan Anwar menunjukkan sokongan rakyat bukan sahaja kepada beliau sebagai Anggota Parlimen Port Dickson, tetapi bakal Perdana Menteri kelapan.
“Ia juga sebagai sokongan kepada usaha membina Malaysia Baharu. Majoriti besar yang diperoleh Anwar juga menunjukkan sokongan kuat rakyat kepada beliau,” katanya. 
Sementara itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding pada PRK tersebut, gembira dengan kemenangan Anwar dan akan berganding bahu dengan Ketua Umum PKR itu untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan Port Dickson.
“Bila beliau menang dengan majoriti lebih besar daripada saya, ia menunjukkan sokongan rakyat kepadanya sebagai bakal perdana menteri kita...kita nak beliau menang supaya Anwar dapat tunjukkan keupayaannya,” kata beliau.
Bagi Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, kemenangan itu merupakan kejayaan untuk rakyat dan beliau amat berterima kasih kepada  penduduk Negeri Sembilan khususnya warga Port Dickson kerana memberi mandat kepada bapanya.
PH berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Port Dickson apabila Anwar memperoleh majoriti 23,560 undi, sekali gus menewaskan enam pencabarnya daripada parti PAS dan lima calon Bebas pada PRK itu. 
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Anwar yang memenangi PRK berkenaan.
“Kejayaan Datuk Seri Anwar memperoleh mandat rakyat dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil ini membuktikan sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan terus kukuh,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dalam mesej di laman Facebook beliau, lapor Bernama.
“Saya percaya kembalinya Datuk Seri Anwar sebagai anggota Dewan Rakyat akan memperkukuhkan lagi muafakat Pakatan Harapan di bawah teraju YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya yakin gandingan mantap kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak positif kepada rakyat dan negara,” katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PH yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan PH.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada pengundi Port Dickson yang membuat pilihan yang bijaksana,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...