Skip to main content

Pemandu lalok akibatkan lima rentung


KUALA KANGSAR -- Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Jumaar atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima mangsa pada 6 Okt lepas.
Mohd Zaidi Di, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan, bapa empat orang anak itu memandu treler di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan kematian tiga wanita, seorang lelaki dan seorang bayi lelaki. 
Dalam kejadian di Km 255.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Kuala Kangsar pada pukul 11.47 pagi itu, lima mangsa rentung iaitu Yew Poi Shy, 37, Teo Wee Tatt, 46, Shaw Swee Me, 42, Lee Len Ying, 60, dan Yew Yi Chin, 1 tahun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin manakala lesen memandunya ditarik balik serta digantung mulai hari ini sehingga prosiding kes selesai. Sebutan semula kes pada 9 Nov ini. 
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azhar Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Azhar memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia mempunyai 31 rekod saman trafik lampau sejak 1999 dan ini menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan kesalahan lalu lintas.
"Untuk makluman mahkamah juga, insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas juga kerap berlaku dan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemandu kenderaan berat lain," katanya.
Tertuduh pula memohon agar mahkamah membenarkannya diikat jamin memandangkan dia menyara isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak. 

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...