Skip to main content

Permit syarikat terlibat kemalangan digantung serta-merta


PUTRAJAYA -- Permit 28 kenderaan syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd digantung serta-merta selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dan audit dijalankan berkaitan kemalangan maut di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Perak Sabtu lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)  akan mengeluarkan notis penggantungan kepada syarikat berkenaan, yang satu daripada kenderaannya terlibat dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah diarahkan untuk memastikan semua 28 kenderaan berkenaan berada di depoh dalam tempoh tersebut.
"Lesen pengendali operasi syarikat itu boleh digantung sekiranya audit yang dilakukan SPAD selepas ini mendapati terdapat kesalahan lain yang membolehkan tindakan itu diambil," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam insiden kira-kira 11.45 pagi Sabtu itu, lima sekeluarga maut selepas kenderaan jenis Kia Forte yang mereka naiki dihimpit treler membawa muatan biji besi sebelum terbakar.
Loke berkata tindakan tegas itu diambil bagi memberi mesej kepada syarikat pengendali pengangkutan lain untuk mengambil serius bahawa mereka harus bersedia dikenakan tindakan jika mengambil mudah soal keselamatan.
Dalam pada itu, beliau juga telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk melakukan kajian berkaitan struktur jalan sepanjang jajaran tersebut termasuk mengkaji  laluan alternatif bagi mengelak kenderaan perdagangan menggunakannya.
Bagaimanapun, katanya penggunaan jalan persekutuan sebagai laluan alternatif  memerlukan kajian terperinci termasuk berkaitan impak kepada kesesakan dan keselamatan kerana melibatkan kawasan kampung dan bandar Ipoh.
Loke juga berkata anggota JPJ akan ditempatkan di laluan sebelum dan selepas Terowong Menora dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi memastikan kenderaan perdagangan mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Penempatan anggota JPJ ini akan dinilai semula selepas tempoh tersebut dan kemungkinan diteruskan jika matlamat mengurangkan kemalangan dicapai," katanya.
Berhubung insiden sebuah lori dipandu secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya semalam, Loke berkata siasatan akan dilakukan ke atas syarikat pengangkutan yang memiliki lori dengan muatan di bawah 7.5 tan itu.
Kejadian 9.15 pagi semalam itu melibatkan lelaki berusia 48 tahun memandu di lorong tengah dengan melawan arus, menjadi tular selepas rakaman video kejadian berdurasi satu minit 25 saat di muat naik di media sosial.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...