Skip to main content

Pertembungan barat dan timur selepas 17 tahun


KUALA LUMPUR -- Menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di antara Terengganu FC menentang Perak di Stadium Shah Alam, Selangor, pada Sabtu ini, kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang sama rata untuk merangkul kejuaraan edisi ke-92 itu.
Terengganu FC yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti memiliki sedikit kelebihan berdasarkan statistik penyudah berbanding finalis, Perak, dengan 27 jaringan dalam 10 perlawanan.
Sudah pasti penyerang sensasi ‘The Turtles’ dengan tujuh gol, Tchetche Kipre yang berasal dari Ivory Coast bersama seorang lagi penyerang prolifik dari Huddersfield, United Kingdom, Lee Andrew Tuck menjadi sandaran Irfan untuk merobek gawang Perak yang dikawal oleh penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Tetapi ada sesuatu yang perlu digusarkan oleh jurulatih berusia 67 tahun itu apabila barisan pertahanan yang dimilikinya tidaklah sehebat jentera serangannya.
Barisan pertahanan Terengganu FC yang diketuai oleh pemain dari Montenegro, Igor Zonjic mencatatkan dua gol bolos secara purata bagi setiap perlawanan yang pasti akan merisaukan peminat setia pasukan dari Pantai Timur itu.
Sementara itu, bagi pasukan yang diberi gelaran ‘The Bos Gaurus’, mereka pasti ingin menambah koleksi kejuaraan setelah menjuarai sebanyak tujuh edisi sebelum ini yang mana kali terakhir dimenangi pada 2000 dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di venue yang sama pada aksi final Sabtu ini.
Seperti Terengganu FC, jentera serangan Perak juga tidak kurang hebatnya dengan kelibat penyerang dari Brazil, Gilmar Jose da Silva yang telah merekodkan tujuh jaringan sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung.

Barisan pertahanan Perak pula dilihat lebih ampuh di mana mereka hanya dibolosi secara purata 1.1 jaringan sepanjang perjalanan menuju ke aksi final.
Aura pengendali pasukan yang berpangkalan di Ipoh itu, Mehmet Durakovic, yang membawa Selangor ke pentas final Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2015 dan 2016 pasti menjadi azimat terbaik dalam beliau membimbing anak buahnya untuk mencapai keputusan yang positif di Shah Alam nanti.
Untuk rekod, pada edisi lepas, skuad ‘Kejor Yop Kejor’ ditunjukkan jalan keluar oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) setelas tumpas dengan agregat 1-4 dalam peringkat separuh akhir dan inilah masa yang tepat buat Perak kembali bangkit dan menjadi kuasa besar dalam bola sepak negara.  
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan senada dengan penulis dengan menyifatkan keputusan akhir perlawanan final nanti sukar di ramal kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri.
Menurut Sathianathan, 60, pasukan Perak mempunyai ‘squad depth’ yang baik kerana jurang di antara posisi penyerang, bahagian tengah dan pertahanan agak padat dengan setiap pemain dalam pasukan berkenaan bijak menjaga posisi masing-masing sehingga menyukarkan pihak lawan untuk membuka ruang.
“Kalau kita lihat penyerang Perak seperti Gilmar dan Wander Luiz, mereka akan cepat turun ke bawah ketika diserang dan membantu di posisi tengah untuk menutup ruang serta pendekatan permainan ‘direct football’ yang digunakan Mehmet ternyata berhasil,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sathianathan yang juga jurulatih bagi pasukan Felda United berkata Terengganu FC yang pada awalnya tidak diletakkan harapan untuk pergi jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini membuktikan mereka mempunyai semangat juang yang tinggi apabila cemerlang mengharungi satu per satu perlawanan dengan kemenangan sehingga berjaya melangkah ke final.
“Kita tahu kekuatan Terengganu FC ini terletak di bahagian serangan mereka menerusi Kipre dan Lee Tuck yang bijak menghidu dan memanfaatkan peluang yang ada, malah anak buah Irfan itu juga mempunyai skil individu yang baik ketika melancarkan serangan balas,” katanya.
Perak mara ke final Piala Malaysia setelah mencatat kemenangan agregat 7-2 ke atas Sabah manakala Terengganu FC melakar kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim pada satu lagi aksi separuh akhir.
Pertembungan Terengganu FC dan Perak dalam pentas akhir itu pastinya akan mengimbau kembali kenangan pertemuan klasik mereka sebelum ini pada aksi final tahun 1998 dan 2001, lapor Bernama.
Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia pada 1998 selepas mencatat kemenangan menerusi sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga masa sebenar perlawanan tamat.
Manakala Terengganu FC ( dikenali sebagai Terengganu pada 2001) pula dinobat sebagai juara Piala Malaysia pada 2001 selepas menumpaskan Perak 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...