Skip to main content

Rasuah kakitangan awam terkawal - KSN


PUTRAJAYA -- Fokus pembersihan sektor perkhidmatan awam yang dilaksanakan adalah bagi memastikan penjawat awam sentiasa mengamalkan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik serta bebas daripada amalan rasuah, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
"Ia akan dapat memacu setiap penjawat awam, yang merupakan tulang belakang dan penggerak utama kerajaan, ke arah pemantapan sistem penyampaian yang berkesan," katanya dalam perjumpaan dengan media  "Up and Close KSN with Media" di sini.
Menurutnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan agar pembersihan dibuat supaya perkhidmatan awam dapat menyampaikan tugas yang ditetapkan serta memastikan usaha membersihkan salah laku dan rasuah dapat diatasi sebaik mungkin.
"Apabila berlaku perubahan dalam kerajaan, penjawat awam perlu membuat penyesuaian dari segi cara bekerja. Sudah tentu, kerajaan baharu mempunyai penekanan dan fokus  tertentu yang memerlukan penjawat awam memberikan satu penyelarasan terhadap tumpuan itu,” katanya.
Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha negara pada 29 Ogos lepas. Beliau menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan telah mewujudkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi memastikan tadbir urus kerajaan dapat ditingkatkan dan diteruskan dari semasa ke semasa bertujuan mewujudkan ketelusan dalam sistem penyampaian awam.
"Selain menangani rasuah dalam kalangan penjawat awam, kerajaan juga dalam proses memulihkan prinsip urus tadbir yang baik, amalan baik serta menjalankan latihan kepada penjawat awam agar garis panduan yang betul dapat ditambah baik dari masa ke semasa," katanya.
Mengenai kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam, Ismail berkata: "Saya boleh katakan ia tidak serius dan hanya melibatkan bilangan tertentu. Bilangannya semakin berkurangan. Awal tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) menyiasat  200 kes. Pada asasnya ia terkawal."
Ismail berkata beliau juga sedang melihat peranan perkhidmatan awam secara keseluruhan, dan dalam proses menyusun jabatan dan agensi yang terlibat dalam pertindihan tugas untuk diletakkan di bawah kementerian yang relevan.
"Perubahan ini dijangka dapat dibuat selepas tempoh enam bulan, untuk melihat jabatan dan agensi mana yang diselaras, ditutup atau dibuat penyesuaian tertentu," katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata beliau telah mengadakan tiga perjumpaan dengan penjawat awam iaitu di Perak, Johor dan Selangor untuk mengingatkan mereka supaya bersikap berkecuali dalam soal politik dan perlu berkhidmat kepada mana-mana pihak yang dipilih sebagai kerajaan semasa.
"Sebenarnya, ada peraturan di dalam perkhidmatan awam. Tahap tertentu penjawat awam di Gred B boleh memegang jawatan di parti politik jika mendapat kelulusan dari pihak atasan manakala mereka di Gred A tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan utama kecuali menjadi ahli biasa," katanya, lapor Bernama.
Ismail turut memaklumkan walaupun beliau tidak memantau mana-mana laman media sosial penjawat awam berhubung kenyataan berunsur politik, namun menasihatkan penjawat awam agar menjaga tatatertib dalam menzahirkan pendapat mereka agar tidak menyentuh isu sensitif keagamaan dan polisi serta dasar kerajaan.
Berhubung dakwaan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP) Tun Daim Zainuddin bahawa ada kalangan penjawat awam dan agensi penguatkuasaan yang menyalurkan maklumat kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sedang diburu, Ismail berkata:
"Biarlah jabatan tertentu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. Pasti ada penjawat awam terlibat, kalau tidak kenapa Tun Daim nak bangkitkan isu itu. Saya tidak dapat jelaskan perkara itu. Mungkin pasukan risikan ada maklumat mengenai itu”.
Kepada soalan lain, Ismail berkata beliau ingin meninggalkan legasi dan aspirasi menjadikan perkhidmatan awam di negara ini sebagai yang terbaik agar Malaysia mampu mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...