Skip to main content

Sarawak, Sabah senada dapatkan semula hak dalam MA63


KUCHING -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senada dalam perjuangan untuk mendapatkan semula hak dan kuasanya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin dalam sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini, Khamis.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah beberapa anggota Kabinet negeri Sabah dan Sarawak termasuk Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Kepentingan kita (Sabah dan Sarawak) adalah sama apabila kita menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu dan sudah tentu senada mahu supaya hak dan kuasa kita dikembalikan,” kata Mohd Shafie.
Beliau berkata sudah tiba masanya kedua-dua negeri bersepakat untuk membolehkan suara dan aspirasi rakyat kedua-dua negeri didengari dan menurutnya apa yang cuba diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dan negara keseluruhan.
“Saya rasakan sudah sampai masanya untuk (kerajaan pusat) menyedari bahawa adanya tuntutan dari Sabah dan Sarawak,  tidak bermakna kita tidak sayangkan Malaysia, kita sayangkan Malaysia tetapi harus juga disedari bahawa setiap yang sudah dipersetujui harus ditunaikan,” tegas beliau.
Menurut Mohd Shafie, kerajaan pusat juga perlu menyedari bahawa perubahan perlu dibuat terhadap tuntutan royalti minyak dengan mempertimbangkan tuntutan 20 peratus yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.
“Kita bukan meminta 100 peratus, kita hanya minta 20 peratus kerana harus diingatkan bahawa 50 peratus keluaran minyak di negara ini adalah dari Sabah,” katanya.
Berhubung pertemuan hari ini, Abang Johari berkata ia bagi mengukuhkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak dalam pelbagai bidang memandangkan kedua-dua negeri mempunyai banyak persamaan.
Beliau berkata Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan Sabah dalam projek automobil yang sedang dalam perancangan kerajaan negeri Sabah di Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP).
Mohd Shafie pula berkata Sabah boleh belajar daripada Sarawak yang memiliki pengalaman yang lebih luas dalam sektor perindustrian, di samping Sabah boleh membeli tenaga elektrik daripada Sarawak yang memiliki bekalan tenaga elektrik  berlebihan dan harganya yang lebih murah.
Dalam sektor pelancongan, beliau berkata Sabah boleh membantu membawa pelancong asing, khususnya dari China untuk melawat Sarawak memandang ramai pelancong dari negara itu mengunjungi Sabah.
Semua cadangan kerjasama itu akan dibincang secara terperinci, menurut kedua-dua pemimpin.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...