Skip to main content

Tak ada jawatan ditawarkan kepada Tok Pa


TANAH MERAH -- Bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi tidak ditawarkan sebarang jawatan dalam parti mahupun kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus di peringkat pucuk pimpinan parti untuk memberi sebarang jawatan kepada Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli.

"Mustapa hanya memaklumkan untuk menyertai parti dan mendokong perjuangan Bersatu dalam memperkasakan kedudukan bangsa Melayu terutama di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu bahagian Tanah Merah di Dewan Latihan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah di sini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor dan Ketua Bersatu bahagian Tanah Merah Bahari Mohd Nor.

Ditanya adakah Bersatu akan menerima mana-mana pemimpin daripada UMNO untuk menyertai parti itu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri berkata pihaknya akan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan pemimpin terbabit.

"Pemimpin lain boleh maklumkan untuk menyertai Bersatu tapi kita akan tapis dahulu kerana kita nak pemimpin yang betul-betul bersih sahaja.

"Setakat hari ini Tok Pa (Mustapa) dilihat sebagai tokoh yang bersih, dihormati dan disegani," katanya, lapor Bernama.

Semalam, Mustapa menyerahkan borang keanggotaannya secara rasmi kepada Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil disaksikan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertingginya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan di Petaling Jaya malam tadi.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...