Skip to main content

Terduduh jumpa dan ganggu saksi - pendakwa raya


KUALA LUMPUR -- Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor, yang dikenakan 17 pertuduhan bekaitan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750,  berjumpa dengan seorang saksi untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau.
Pesara Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai  pasukan  pendakwaan, menyatakan perkara itu ketika memohon mahkamah supaya tidak membenarkan isteri bekas perdana menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak itu diikat jamin atas alasan terdapat bahaya besar  gangguan dilakukan terhadap saksi.
“Terdapat faktor lebih penting yang ingin kami maklumkan kepada mahkamah. Apabila pihak  pendakwaan merekodkan kenyataan seorang saksi, tertuduh  (Rosmah) berjumpa dengan saksi itu untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau. Saya ada satu salinan laporan polis tentang perkara itu,” katanya.
Beliau kemudian mengemukakan laporan polis berkenaan yang dibuat  Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Hakim Azura Alwi , yang mendengar kes itu.
Sri Ram berkata tuduhan yang dihadapi Rosmah merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, tetapi terserahlah kepada budi bicara mahkamah sama ada membenarkan ikat jamin atau sebaliknya.
Menurut beliau, berdasarkan prinsip undang-undang, ikat jamin tidak seharusnya dibenarkan jika terdapat bahaya ketara saksi diganggu.
“Bagaimanapun, kami memohon agar ikat jamin ditetapkan pada RM10 juta dengan dua syarat iaitu tertuduh perlu menyerahkan dua pasportnya dan tidak menghubungi saksi serta mereka yang berpotensi menjadi saksi dari sekarang hinggalah selesai perbicaraan,” katanya.
Peguam Datuk  Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah memohon mahkamah menimbang jumlah ikat jamin yang disyorkan pihak pendakwaan itu dengan berkata ikat jamin hanya bertujuan memastikan tertuduh akan hadir di mahkamah.
Beliau berkata dalam menentukan jumlah ikat jamin, pihak pembelaan memberi alasan yang berlandaskan peruntukan undang-undang serta merujuk kepada  beberapa “perkara bertaraf tinggi”, dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah adalah berpatutan.
"Pertama, dalam kes terbaru, di mana Datuk Seri Najib Razak, yang menghadapi 21 tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, inti perkaranya melibatkan RM2.6 bilion dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah ialah RM3.5 juta, manakala dalam kes Datuk Jaya Kumar, yang melibatkan RM16.5 juta, ikat jaminnya ialah RM600,000.
"Berdasarkan kes ini dan tuduhan (dihadapi Rosmah), yang melibatkan RM7 juta, saya mencadangkan agar anak guam saya dikenakan ikat jamin RM250,000. Jumlah itu tepat dan berpatutan bagi memastikan kehadiran beliau di mahkamah nanti,” katanya.
Vincent berkata mahkamah juga perlu mengambil kira faktor bahawa anak guamnya bersedia untuk mematuhi dua syarat yang dimohon pihak pendakwaan.
"Anak guam saya membawa bersama-sama beliau dua dokumen perjalanan beliau untuk diserah kepada mahkamah dan beliau bersedia untuk berjani tidak akan mendekati mana-mana saksi atau mereka yang berpotensi menjadi saksi yang mempunyai kaitan dengan kes pihak pendakwa ini,” katanya.
Beliau berkata Rosmah juga memberi kerjasama penuh kepada SPRM semasa siasatan dan telah dipanggil sebanyak tiga kali oleh suruhanjaya itu untuk memberi kenyataan.
“Kali pertama beliau dipanggil SPRM ialah pada 5 Jun lepas, kali kedua pada 26 Sept dan kali terakhir pada 3 Okt. Beliau tidak pernah gagal untuk hadir serta memberi kerjasama penuh kepada SPRM, walaupun diberi notis singkat oleh suruhanjaya itu.
"Perjalanan beliau ke luar negara telah disekat sejak Mei lepas dan hingga kini, anak guam saya tidak pernah cuba untuk meninggalkan negara ini,” katanya sambil menambah bahawa Rosmah juga​ ​​​​​​tidak  mempunyai rekod lampau.
Peguam Datuk K.Kumaraendran, yang bertindak sebagai peguam utama bagi Rosmah, berkata jumlah yang dicadangkan pihak pendakawaan adalah terlalu berlebihan dan oleh itu beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberi pertimbangan terhadap dakwaan pihak pendakwaan berhubung gangguan terhadap saksi dalam menentukan jumlah ikat jamin.
Sri Ram membalas hujah itu dengan berkata jumlah ikat jamin yang dicadangkan Vincent tidak munasabah kerana mahkamah perlu menimbang kedudukan Rosmah dalam kehidupan.
“Kedudukan peribadi tertuduh memang tinggi, tetapi keperibadian itu bercanggah dengan apa yang beliau lalui. Paling utama, seseorang yang berkedudukan seperti beliau tidak sepatutnya berada di kandang tertuduh ,” katanya 
Beliau berkata pihak pendakwaan mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10 juta setelah mengambil kira fakta kes, termasuk mengganggu saksi.
Sri Ram juga berhujah bahawa tidak berlaku perbuatan mengganggu saksi seperti yang dirujuk Vincent untuk mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah untuk anak guamnya, kecuali dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
“Jumlah yang dimohon pihak pembelaan tidak memadai dan ternyata terlampau rendah. Jika mahkamah berpendapat hujah yang dikemukakan pihak pembelaan adalah betul, maka lebih wajarlah mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 sahaja,” katanya.
Sementara itu, Vincent juga memberitahu mahkamah bahawa laporan polis yang dibuat SPRM berhubung majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Rosmah pada 2006 tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap kes anak guamnya itu. Katanya, majlis itu adalah untuk meraikan perkahwinan anak sulung Rosmah,  Azrene Soraya Abdul Aziz, tetapi namanya tidak disebut dalam laporan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan laporan polis bagi menunjukkan bahawa Rosmah berkecenderungan untuk mengganggu saksi.
Azura kemudian membenarkan Rosmah diikat jamin  RM2 juta oleh dua penjamin dan memerintahkannya menyerahkan dua pasport beliau kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.
Terdahulu,  Rosmah mengangguk dan berkata dia memohon dibicarakan bagi setiap tuduhan yang dibaca kepadanya.
Apabila tuduhan kesembilan hingga ke-12 dibacakan, beliau memohon untuk melihat kertas pertuduhan dan selepas itu mengangguk serta meminta dibicarakan bagi semua pertuduhan. -- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...