Skip to main content

Tertuduh nafi berbohong dan mereka-reka keterangan


KUALA LUMPUR -- Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais menafikan bahawa segala keterangan yang diberikan sepanjang prosiding membela dirinya di Mahkamah Tinggi di sini, adalah satu pembohongan dan rekaan semata-mata.
S. Ravi Chandaran, 47, yang merupakan saksi pembelaan keenam turut tidak bersetuju bahawa dia kini berada dalam situasi ‘terkapai-kapai’ sehingga sanggup menuding jari kepada sesiapa sahaja termasuk mengaitkan peguam dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes itu.
Ravi Chandaran berkata demikian ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding membela diri hari ke-25, hari ini.
Wan Shaharuddin : Kamu ditangkap pada 15 Sept 2015? Dalam perjalanan balik ke ‘hometown’ (di Kedah),”?
Ravi Chandaran : Ya
Wan Shaharuddin : Apabila ditangkap, sepanjang masa polis bertanyakan tentang kejadian (pembunuhan) ini?
Ravi Chandaran : Ya
Wan Shaharuddin : Kalau apa-apa kamu ingin ceritakan, itu adalah peluang terawal (untuk menceritakan kejadian sebenar).
Ravi Chandaran : Ya
Wan Shaharuddin : Kamu ada ceritakan semua kepada polis?
Ravi Chandaran : Tidak.Saya tidak ceritakan banyak perkara.
Wan Shaharuddin : Kamu tidak ceritakan banyak perkara sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah adalah satu pembohongan dan sesuatu yang direka.
Ravi Chandaran : Tidak setuju.
Wan Shaharuddin : Jika benar kamu tidak bersalah, itu adalah peluang untuk kamu ceritakan segala-galanya, pada 15 Sept tersebut.
Ravi Chandaran : Tidak setuju.
Wan Shaharuddin : Segala-galanya yang saya maksudkan adalah tentang pembunuhan Kevin Morais, penglibatan peguam yang mewakili tertuduh pertama dan Datuk Seri Najib. Kamu tak cerita sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah tidak berlaku.
Ravi Chandaran : Tidak setuju.
Wan Shaharuddin : Kamu sebenarnya sekarang ini terkapai-kapai untuk menarik sesiapa sahaja dengan kamu, kerana sebenarnya kamu adalah ‘mastermind’ bersama Dr Kunaseegaran dalam membunuh Kevin Morais sehingga sanggup mengaitkan peguam.
Ravi Chandaran : Tidak setuju
Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa empat lagi tertuduh iaitu R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; dan S. Nimalan adalah orang suruhannya dan Dr Kunaseegaran.
Pada prosiding sebelum ini, Ravi Chandaran mengakui bahawa dia telah membuat laporan polis mendakwa bekas perdana menteri itu telah menawarkan RM3.5 juta melalui pegawai penjara untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.
Dalam laporan polis itu juga dia mengakui bahawa adik Kevin Morais, Richard Morais juga menawarkan RM2 juta supaya dia mengaku membunuh Kevin Morais, manakala semasa memberi keterangan di mahkamah dia memberitahu Dr  Dr Kunaseegaran menawarkan RM1.5 juta  untuk  dia  mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.
Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Oktober. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...