Skip to main content

Tidak mungkin ada lebuh raya tanpa tol - Tun M


BALI -- Pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir mendedahkan beliau sebenarnya tidak  bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
"Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar."
"Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu,  untuk mengadakan laluan percuma… ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol," katanya kepada Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin  ASEAN di sini pada Khamis.
Perhimpunan itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan  "Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global”.
Ini lawatan kali  kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak menjadi perdana menteri bagi kali kedua susulan pilihan raya bersejarah Malaysia pada Mei dan perhimpunan di peringkat ASEAN menjelang Sidang Kemuncak perkumpulan 10 anggota itu bulan depan di Singapura.
Menjelaskan selanjutnya tentang tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan  baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.
"Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya,. Mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?"
Dr Mahathir berkata di England tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai malah lebih tinggi, lapor Bernama.
"Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar. Tetapi di sini pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita. Bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?"
Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan oleh sebab sebahagiannya akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar jika dilaksanakan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...