KANGAR -- Bapa mangsa cabul bawah umur melibatkan seorang anggota Parlimen di Perlis merayu kepada semua pihak agar berhenti menularkan gambar anaknya demi menjaga privasi remaja itu yang masih bersekolah.
Kontraktor berusia 39 tahun itu berkata, pihaknya juga berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat punca yang menyebabkan gambar pada kad pengenalan anaknya tular dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang tidak bertanggungjawab itu.
“Anak saya OK dan dia sudah tidak terkesan dengan insiden itu dan menganggap perkara itu hanya sebagai salah faham dan sebab itulah dia menarik semula laporan yang dibuat.
“Lagipun semasa laporan dibuat kami tidak jelas apa yang berlaku, namun setelah ada wakil (suspek) menerangkan perkara sebenar dan menyampaikan permohonan maaf, barulah kami faham dan tarik balik laporan,” katanya dalam satu pertemuan bersama pemberita di sini.
Beliau berkata, dakwaan keluarganya 'disogok’ juga adalah tidak benar.
“Laporan ditarik balik sebelum suspek datang berjumpa kami sekeluarga, kalau betul kami nak imbuhan, kami dah ‘deal’ dengan dia awal-awal,” katanya.
Isu cabul membabitkan anggota Parlimen dari UMNO itu menjadi perhatian umum apabila Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) Datuk R Sri Sanjeevan menerusi akaun Twitternya, mempertikaikan mengapa suspek belum ditahan sedangkan laporan polis sudah dibuat oleh mangsa.
Comments
Post a Comment