Skip to main content

Kekecohan di kuil tiada kaitan isu perkauman


KUALA LUMPUR -- Tindakan pantas polis membendung kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights, yang menyaksikan 17 lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam, meredakan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.
Penjelasan polis bahawa insiden kekecohan di kuil berkenaan tiada kena-mengena dengan perbalahan perkauman melegakan seluruh masyarakat majmuk Malaysia kerana ia sebenarnya menjurus kepada isu pemindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baharu di Putra Heights yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tapak asal kuil.
Berikutan kejadian itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata setakat ini 17 lelaki  warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan kejadian yang berlaku 2.30 pagi Isnin, sehingga menyebabkan 18 kereta dan dua motosikal di sekitar kawasan kuil itu dibakar. 
Daripada 17 yang ditahan itu, enam daripada mereka mengalami kecederaan dan seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya turut cedera ketika cuba meleraikan kekecohan.
“Ini bukan isu perkauman, saya menasihatkan pemimpin politik dan pihak tertentu agar lebih  bertanggungjawab dan berhati-hati buat kenyataan agar tidak memburukkan lagi keadaan,” kata Mohamad Fuzi pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini malam ini, sejurus tiba dari Dubai. 
Ekoran kejadian itu, 29 laporan polis dibuat setakat petang tadi.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan termasuk mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Ekoran daripada insiden itu juga, empat menteri dan seorang timbalan menteri dalam satu kenyataan bersama mahu polis melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan dan serangan terhadap kuil tersebut.
Pada 28 Sept lepas, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Okt lepas.
Bagaimanapun, pada 25 Okt kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.
Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.
Pada 31 Okt lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau berkata dalam Penghakiman Persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.
Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri; pemilik tapak kuil berkenaan, One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K. Chellappa dan M. Nagaraju.
Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.
Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala kerajaan negeri menyerahkan tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil berkenaan. 

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...