Skip to main content

Saman hospital sebab kepala alat sulit terpotong


KUALA LUMPUR -- Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan lapan tahun lepas, menyaman pembantu perubatan dan dua doktor di dua buah hospital kerajaan berhubung dakwaan berlakunya kecuaian semasa proses berkhatan sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

Remaja berkenaan yang memfailkan saman melalui ibunya selaku plaintif pada 19 Julai lepas menamakan pembantu perubatan dan pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama sehingga keenam.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 13 Dis 2010, jam 10 pagi, defendan pertama bersama-sama dengan seorang pembantunya  telah menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua dan ketiga ke atas dua orang kanak-kanak lelaki termasuk anaknya, ketika itu berusia 10 tahun di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa semasa berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan apabila beliau telah memotong keseluruhan kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan.

Dakwanya, akibat kecuaian itu, kepala zakar anaknya terputus dan darah keluar dengan sangat banyak serta defendan pertama juga didakwa membuat penyambungan semula ke atas kepala alat sulit berkenaan dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan dengan segera dan juga tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit itu glans penis terputus akibat prosuder berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.

Ibu kepada remaja itu juga mendakwa defendan kedua telah cuai kerana tidak membuat penyambungan semula kepala alat sulit itu dan mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan menghantar anaknya bagi mendapatkan rawatan dengan segera di Hospital Selayang.

Dakwa plaintif, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan bahawa glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal di mana kemaluannya tidak dapat disambung semula.

Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya, sebaliknya berkawan dengan kanak-kanak yang lebih kecil serta tidak faham dunia seksualiti.

Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanjaan perjalanan dan rundingan dengan peguam yang kesemuanya berjumlah lebih RM100,000.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos, lapor Bernama.
Dalam pembelaan difailkan pada 6 Sept lepas, defendan pertama menafikan dia telah cuai dan tidak mengikut prosedur yang betul ketika melakukan proses berkhatan.

Defendan kedua hingga keenam dalam pembelaan mereka pada 28 Sept lepas, menafikan mereka melakukan kecuaian ketika merawat remaja itu serta mendakwa remaja berkenaan tidak berhak menuntut sebarang ganti rugi kerana kecacatan pada zakarnya berpunca daripada tindakan defendan pertama.

Sementara itu, peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar dan Nur Eliza Abd Rashid, yang mewakili remaja itu ketika ditemui pemberita berkata kes saman berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 7 Dis di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...