SERDANG -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat boleh membuat petisyen terhadap P Waytha Moorthy tetapi ia bukan arahan untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.
Mengulas petisyen yang mendesak pemimpin Hindraf itu meletak jawatan susulan penularan video 10 tahun lepas yang mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia, Dr Mahathir berkata Waytha Moorthy perlu diberi peluang menjalankan tugas dan membetulkan perkara sebelum bergelar menteri.
“Kita semua ada latar belakang, macam saya dulu parti UMNO, jadi tak kan kerana saya dulu dari UMNO saya tidak boleh masuk Pakatan Harapan.
“Masa itu dia amat kecewa dan dia buat kenyataan, dia nak tunjuk dekat orang asing bahawa di Malaysia ini tidak ada keadilan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Perdana Menteri berkata berkata Waytha Moorthy yang kini berada dalam kerajaan tidak lagi berpegang kepada apa yang dikatakannya sebelum ini.
“Macam saya dulu orang panggil maha zalim tetapi sekarang mereka terima maha zalim ini sebagai pemimpin, jadi ada pertukaran ikut masa,” katanya.
Sehingga Selasa lepas, petisyen dalam talian yang digerakkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu telah di tandatangani seramai 151,171 orang, lapor Bernama.
Mengenai tindakan Waytha Moorty melantik barisan pegawainya dari kalangan anggota Hindraf dan tidak mencerminkan kepelbagaian kaum, Dr Mahathir berkata menteri berkenaan berhak melantik siapa sahaja untuk membantunya dalam melaksana tugas.
"Dia akan lantik orang yang dia kenal, takkan dia nak lantik yang tidak dikenalinya, dan kebanyakan orang yang dia kenali dari Hindraf atau komuniti India," katanya.
Comments
Post a Comment