Skip to main content

Waytha Moorthy akan dipanggil polis


KUALA LUMPUR -- Polis akan mengambil keterangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, berhubung klip video kenyataannya yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata menteri berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membolehkan pihaknya memperoleh maklumat lanjut mengenai asas dakwaan dan kandungan klip video tersebut.
“Kita akan panggil beliau dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dakwaan yang dibuat itu diperoleh dari mana dan dibuat berasaskan apa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Pengurusan, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis  dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha Moorthy membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara dengan menuduh kononnya Malaysia menindas penganut Hindu dan masyarakat India.
Dalam perkembangan berasingan, Noor Rashid berkata polis juga akan memanggil Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, bagi membantu siasatan melibatkan catatan beliau bertajuk ‘Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan dan Ancaman’ yang dimuat naik di sebuah laman sesawang.  
“Polis ambil berat sebab isu ini...kita akan panggil penulis (Azwanddin) kerana ia menyentuh isu keselamatan negara,” katanya. 
Sementara itu, katanya, polis telah menerima lebih 150 laporan polis berkaitan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan akan menyiasat kes berkenaan dari segala aspek.
“Kita telah buka kertas siasatan dan akan panggil beberapa individu dalam masa yang sesuai untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan, “ katanya.
Mengenai rancangan penganjuran perhimpunan besar-besaran bagi membantah ICERD, beliau mengingatkan penganjur supaya mematuhi undang- undang yang telah ditetapkan.
“Negara ini mengamalkan prinsip demokrasi...semua pihak mempunyai kebebasan bersuara namun kita ada undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 yang perlu dipatuhi,” katanya, lapor Bernama.
Semalam, media melaporkan perhimpunan itu disertasi oleh ahli PAS dan UMNO itu dijadualkan diadakan di ibu negara 8 Dis ini.
Dalam majlis berkenaan, seramai 36 pegawai kanan polis menerima pemakaian pangkat manakala 111 anggota dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...