Skip to main content

Bersatu akan terima bekas pemimpin UMNO


KUALA LUMPUR -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meskipun ia dilihat kurang disenangi oleh rakan parti komponen Pakatan Harapan.
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu, berkata permohonan mereka itu bagaimanapun dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.
"Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli UMNO. 
"Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya," katanya kepada wartawan selepas menghadiri sambutan 20 tahun Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang telah keluar parti dalam minggu ini.
Rabu lepas, lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua Senator UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti itu.
Hari ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam lagi Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu, iaitu Datuk Rosol Wahid  (Hulu Terengganu), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut)  dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Ditanya mengenai keputusan beliau itu yang dilihat kurang disenangi PKR dan DAP, Dr Mahathir berkata terdapat juga pihak pihak dalam Bersatu yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut, namun beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang 'personal'.
Tegasnya anggota Parlimen dan ADUN daripada  UMNO yang ingin menyertai Bersatu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan.
Katanya  ini termasuk keluar daripada parti sekarang dan menjadi wakil rakyat Bebas selain menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan.
"Selepas itu, kami akan menilai setiap individu, baru boleh masuk," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata mereka yang mahu menyertai Bersatu juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah. 
Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiausaha politiknya Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih lagi berkhidmat memandangkan beliau belum lagi didapati bersalah.
Muhammad Zahid dikaitkan dalam sembilan daripada 10 pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap Mohd Isa, dinamakan sebagai orang tengah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.
Mohd Isa hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...