Skip to main content

Budak 10 tahun jadi pengedar dadah


KOTA BHARU -- Pelajar sekolah rendah yang berumur antara 10 hingga 12 tahun menjadi sasaran terkini pengedar dadah di negeri ini kata Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Rohayu Ahmad.
Rohayu berkata trend itu mula dikesan sekitar tahun 2015 dan semakin meningkat sehingga tahun ini.
“Sebelum ini hanya pelajar sekolah menengah yang dikesan terlibat dengan pengambilan dadah. Bagaimanapun bermula 2015 ia mula menular kepada pelajar sekolah rendah malah ada yang dikesan telah mula mengambil dadah seawal umur sembilan tahun,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Amanat Mufti Kepada Orang Kena Pengawasan (OKP).
Turut hadir Pengerusi Jawatan Kuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Bharu Nohaimi Ismail dan Hasbullah Ibrahim yang menyampaikan amanat mewakili mufti Kelantan.
Program yang disertai kira-kira 413 OKP Kota Bharu itu diadakan bagi menerapkan eleman Islam dan memperkukuh jati diri golongan itu bagi mendepani pengaruh tidak sihat dalam masyarakat yang boleh  menyebabkan mereka kembali menjadi penagih.
Rohayu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah murid sekolah rendah yang terlibat dengan pengambilan dadah itu sebaliknya menasihatkan golongan berkenaan dihantar mendapatkan rawatan di Pusat Khidmat Cure and Care yang terletak di Pengkalan Chepa.
“Kita dapati antara faktor berlakunya pengambilan dadah dalam kalangan murid sekolah rendah adalah mereka kurang maklumat berkaitan dadah, tidak mengetahui kesan pengambilan dadah selain keinginan untuk mencuba,” katanya.
Sementara itu katanya terdapat kira-kira 8,115 penagih dadah di seluruh negeri Kelantan tahun ini menjadikan negeri ini di kedudukan kedua tertinggi selepas Kedah, lapor Bernama.
Katanya daripada jumlah tersebut, 111 adalah penagih wanita yang kebanyakannya terjebak dalam kancah dadah kerana terpengaruh dengan pujukan suami atau teman lelaki selain mempunyai anggota keluarga yang juga penagih dadah.
Dalam pada itu katanya kedudukan Kelantan yang berhampiran sempadan Thailand turut mempengaruhi trend penagihan dadah di negeri ini.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...