Skip to main content

Kenaikan tol di 21 lebuh raya dibeku


KUALA LUMPUR -- Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya seluruh negara bagi semua kelas kenderaan bermula tahun 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata pembekuan komprehensif itu adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab   kerajaan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat Malaysia.
“Jemaah Menteri pada 12 Dis telah bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun 2019.
“Kerajaan juga menganggarkan pembekuan kadar tol itu akan melibatkan kos bayaran pampasan yang dianggarkan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat untuk tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Lebuhraya terlibat ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP),  Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
“Lebuhraya yang lain adalah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JPP2) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).
“Sebagai contoh, kadar tol 2019 bagi MEX (Plaza Tol Utama Putrajaya) berdasarkan perjanjian konsensi adalah RM4.90, manakala DUKE ialah RM3.30 namun kerajaan memutuskan membekukan kenaikan kadar tol itu,” katanya.
Lim berkata kerajaan juga bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas 5 (bas) dengan anggaran kos RM1.68 juta di lapan lebuh raya berasingan.
“Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (LATAR), NPE dan SPRINT.
“Secara keseluruhannya, pembekuan kadar tol (21 lebuh raya dan bas) serta pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pertama Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Jan ini akan melibatkan anggaran kos kerajaan sebanyak RM994.43 juta bagi 2019,” katanya.
Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan dan pembekuan kadar tol ini adalah sebahagian daripada usaha itu, katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...