Skip to main content

Saya mahukan pembangkang yang kuat - Tun M


PUTRAJAYA -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu Malaysia yang mempunyai parti pembangkang untuk menjadi cermin kepada pemerintah.
Bagaimanapun katanya harapan itu tidak menjadi kenyataan kerana pembangkang dalam keadaan hancur dan tidak boleh dipercayai.
Mengenai persepsi bahawa menerima penyertaan bekas Anggota Parlimen UMNO adalah sebahagian daripada strategi PH untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen, perdana menteri berkata secara peribadi, beliau tidak suka kerajaan dengan majoriti dua pertiga.
“Saya mahukan pembangkang yang kuat. Tetapi apa yang anda lihat pembangkang kini benar-benar hancur. MIC tidak berfungsi, MCA tidak berfungsi. Di Sabah mereka tidak berfungsi. Keseluruhan UMNO telah berpecah kepada banyak bahagian...ada yang ingin kekal dalam UMNO, ada yang ingin keluar. Ada juga yang tidak ingin berpolitik lagi.
“Tiada pembangkang yang boleh dipercayai pada masa ini. Bahkan, semasa saya dalam kerajaan sebelum ini, ketika saya mengetuai BN (Barisan Nasional), saya pernah kata kita memerlukan pembangkang kerana tanpa pembangkang ibarat tiada cermin untuk melihat diri sendiri. Anda rasa anda cantik, tetapi sebenarnya anda sangat hodoh,” katanya.
Tindakan ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sesuatu yang mudah buat bekas anggota UMNO terutamanya Anggota Parlimen dan pemimpinnya, kerana permohonan mereka akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan untuk memastikan sama ada mereka layak menyertai parti itu.

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu hanya mengalu-alukan mereka yang bebas daripada sebarang salah laku atau mereka yang bukan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami hanya menerima pemimpin yang tidak terlibat dan menunjukkan sokongan yang kuat kepada Najib. Ada antara mereka yang mengutuk Pakatan Harapan (PH) dan memanggil saya gelaran yang tidak elok, dan semua itu.

“Mereka ini kami tidak terima. Bukan hanya terus masuk Bersatu. Mereka akan diteliti untuk melihat sama ada mereka layak atau tidak,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih di pejabatnya di sini.

UMNO mengalami krisis apabila beberapa pemimpin termasuk wakil rakyatnya, mengumumkan keluar parti untuk menjadi anggota bebas, manakala ada antara mereka yang bakal menyertai parti komponen PH.

Dr Mahathir berkata Bersatu telah mengenakan syarat tertentu untuk Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO sebelum mereka boleh menyertai Bersatu.

“Ada antara mereka telah bertemu saya dan menyatakan janji mereka ingin menyertai Bersatu tetapi mereka tidak akan cuba mendapatkan apa-apa kedudukan dalam parti...mereka tidak akan memegang apa-apa jawatan atau menjadi calon untuk pilihan raya akan datang. Kami memberitahu mereka, untuk menyertai Bersatu, ada syarat-syaratnya (yang harus mereka penuhi).

“Yang pertama, anda mesti meninggalkan UMNO dan menjadi anggota bebas untuk seketika, dan semasa tempoh itu, anda mesti menunjukkan bahawa anda menyokong kerajaan PH kemudian anda boleh memohon, atau anda boleh memohon lebih awal, tetapi permohonan itu akan dipertimbangkan selepas kami melihat tingkah laku anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata pada pilihan raya umum yang lalu, banyak orang Melayu menyokong UMNO kerana parti itu masih popular di kaca mata kebanyakan orang Melayu.

“Orang Melayu ini mesti dibawa keluar kerana apabila mereka menyokong Bersatu, Bersatu akan kuat dan PH juga menjadi kuat. Jadi, ini kedudukan kami. Mereka (Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO) boleh masuk sebagai anggota, mereka mempunyai pengikut.

“(Tetapi) Kami tidak mengambil pemimpin, seperti dua, tiga nama yang telah disebutkan.

“Pemimpin berkenaan, mereka tidak boleh masuk (Bersatu). Ada kes-kes terhadap mereka, mereka  perlu menghadapi mahkamah. Kami tidak akan menerima mereka,” tambahnya.

Ditanya sama ada anggota PH yang lain menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkara itu, Dr Mahathir berkata: “Ya, mereka bimbang”.

“(Tetapi) kami juga mengambil berat (perkara itu). Kami tidak mahu memberi gambaran bahawa  UMNO mengambil alih Bersatu atau parti lain dalam PH. Kami sangat serius dalam meneliti orang-orang ini. Mereka ingin masuk. Saya rasa di kampung-kampung mereka masih berpengaruh. Jika kami menolak mereka, mungkin kami menolak pengundi. Mereka boleh membawa masuk beberapa pengundi. Ini akan menguatkan Bersatu dan PH juga,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...