Skip to main content

Suami saya melecur dari atas kepala hingga ke paras pinggang


KUCHING -- "Sebelum kejadian saya dapat lihat suami di bahagian dapur restoran tersebut, namun apabila letupan berlaku dia hilang dari pandangan akibat ditimpa runtuhan," kata seorang saksi kejadian letupan gas di CityOne Megamall petang semalam.
Demikian menurut Aimy Mohamad, 19, yang juga isteri kepada seorang pekerja restoran yang terlibat dalam insiden letupan dan runtuhan di premis tersebut di Jalan Song, yang meragut nyawa tiga lelaki.
Sejumlah 44 orang turut cedera.
Aimy berkata akibat kejadian itu dia yang bekerja di sebuah kedai berhampiran turut di timpa kayu-kayu kecil kesan letupan yang berlaku namun menguatkan hati untuk masuk mencari suaminya Uzair Abu Bakar, 19, di dalam restoran tersebut.
"Kejadian berlaku sekelip mata, saya dengar bunyi letupan sekali dan sangat nyaring. Akibat letupan itu berlaku runtuhan di dalam restoran tersebut, suami saya pun tidak kelihatan lagi.
"Saya keluar tinggalkan tempat kerja saya, lari masuk ke dalam restoran yang meletup cuba cari suami tetapi dia gagal ditemui. Saya keluar ke bahagian luar restoran pula namun masih gagal untuk jumpa dan ambil keputusan masuk ke dalam restoran buat kali kedua," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.
Aimy berkata suaminya yang baru dua hari bekerja sebagai pembantu dapur di restoran itu akhirnya ditemukan orang ramai yang turut sama membantu mencari, lapor Bernama.
"Suami saya melecur dari atas kepala hingga ke paras pinggang kerana ketika kejadian dia berada paling hampir dengan tong gas. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Kebakaran HUS untuk rawatan lanjut.
"Malam tadi saya dapat jumpa dia (suami) dah sedar dan keadaan semakin stabil," kata ibu kepada dua cahaya mata perempuan berusia dua tahun dan tiga bulan itu.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...