Skip to main content

Tak puas hati dengan Zahid punca tinggalkan UMNO


KUALA LUMPUR -- Beberapa pemimpin UMNO hari ini menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain kepentingan kebajikan rakyat sebagai antara alasan mereka meninggalkan parti berkenaan. 
Anggota Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini berkata lebih ramai anggota UMNO akan meninggalkan parti tunjang Barisan Nasional itu sekiranya  Ahmad Zahid  tidak berundur sebagai presiden parti.
Menurut Zulkifli Bujang, Pegawai khas Hamzah, bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO itu memberi amaran berkenaan berdasarkan desakan majoriti anggota parti kebelakangan ini.
Hamzah, menurutnya, kecewa dengan cara bekas timbalan perdana menteri itu mengendalikan isu berkenaan sehingga menjadi krisis kepada parti dan menyebabkan ramai hilang kepercayaan kepadanya serta parti.
"Kalau seandainya presiden tidak dengar atau tidak ambil pandangan ini, ramai lagi ahli parti atau Anggota Parlimen akan keluar UMNO," katanya.
Menurut laporan media hari ini, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu dipetik sebagai berkata beliau difahamkan terdapat kira-kira 10 lagi Anggota Parlimen UMNO bersedia meninggalkan parti dalam masa 10 hari lagi, sekiranya Ahmad Zahid tidak melepaskan  jawatannya.
Zulkifli dalam pada itu memaklumkan, bahawa surat peletakan jawatan Hamzah  sebagai Ketua UMNO bahagian Larut, sekali gus meninggalkan parti itu, diserahkannya kepada pegawai Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.50 petang tadi. 
Dalam isu sama, selepas desakan Pemuda UMNO Sabah semalam, hari ini UMNO Bahagian Sungai Besar turut mendesak Ahmad Zahid Hamidi agar segera melepaskan jawatannya.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata walaupun UMNO bahagian itu dianggap penyokong kuat Ahmad Zahid , namun kini anggota bahagian itu sebulat suara menarik balik sokongan terhadap Presiden UMNO itu selepas beliau dilihat tidak mampu dan sangat lemah dalam menangani krisis parti.
Selain itu, Pemuda UMNO Alor Setar hari ini turut mengambil pendirian sama seperti Pemuda UMNO Sabah yang mendesak agar Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti itu.
Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai mewakili suara akar umbi parti yang semakin gelisah dengan krisis yang melanda UMNO, pihaknya berpendapat tindakan itu demi kelangsungan dan hala tuju parti.
Terdahulu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu hari ini.
Selain Hamzah, mereka ialah Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) ; Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).
Selain Ikmal Hisham yang membuat pengumuman di hadapan kira-kira 800 penyokong hari ini,  Shabudin dan Rosol masing-masing mengesahkan keputusan mereka itu ketika dihubungi Bernama.
Berlainan dengan Hamzah, Ikmal Hisham dan Shabudin yang masing-masing enggan mengulas mengenai penyertaan mereka ke mana-mana parti, Rosol berkata beliau telah menyerahkan borang untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut mendakwa borang berkenaan diserahkan semalam, bersama-sama lima lagi Anggota Parlimen UMNO yang memutuskan untuk keluar daripada parti, lapor Bernama.
“Tunggu sahajalah sama ada diluluskan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak,” katanya menambah bahawa keputusannya itu tidak dibuat secara tergesa-gesa dan paksaan tetapi telah diperhalusi sebaiknya.
Katanya, biarpun sedih, beliau nekad dengan keputusannya dan tidak akan berpaling lagi, semata- mata untuk menjaga kebajikan rakyat yang dahagakan pembelaan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya bersama UMNO Tasek Gelugor akan membuat sidang akhbar berhubung Shabudin, pukul 11 pagi, esok.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...