Skip to main content

Tiada cauvinisme kaum dan agama di Selangor


KLANG -- Kerajaan Selangor berikrar untuk tidak  bertolak ansur terhadap sebarang anasir yang cuba menggugat ketenteraman dan keamanan yang dikecapi rakyat negeri itu.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata pihaknya dan pentadbiran negeri akan memastikan rakyat berbilang kaum di Selangor hidup secara aman dan sentosa.
"Patik  dan  pentadbiran  negeri akan  memastikan  kesentosaan  negeri buat  sekalian  rakyat  negeri  Selangor. 
"Segala  bentuk  cauvinisme  kaum mahupun  agama  tidak  punya  tempat  di  negeri  Selangor  yang kosmopolitan  ini," katanya dalam ucapan sembah taat setia bersempena sambutan hari keputeraan ke-73 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Pada hujung bulan lepas, Selangor digemparkan dengan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya yang menyaksikan polis menahan 106 indvidu setakat ini bagi membantu siasatan.
Kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah akibat dipukul perusuh dan kini dirawat di Institut Jantung Negara.
Sementara itu, Amirudin berkata Selangor terus mencatat kejayaan di bawah naungan Sultan Selangor dan kekal menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara bagi 2017 dengan kadar 23 peratus berbanding 22.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu katanya didorong oleh kedudukan kewangan yang kukuh selain Selangor menjadi destinasi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara.
Amirudin yang dilantik ke jawatan itu pada Jun lepas, berkata kerajaan Pakatan Harapan Selangor juga berhasrat membuka galeri seni bagi menempatkan karya seniman tersohor dari Asia Tenggara selain memberi ruang kepada artis tempatan.
Pada sambutan itu, Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 114 penerima yang diketuai oleh adindanya Tengku Puteri Nor Zehan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Tengku Puteri Nor Zehan yang juga Yang Dipertua,Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK II).  

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...