Skip to main content

Adib beritahu beliau ditarik di bahu


SHAH ALAM -- Seorang pegawai bomba  hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa arwah Muhammad Adib Mohd Kassim memaklumkan beliau dipukul semasa rusuhan  di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov tahun lalu.
Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, berkata Muhammad Adib berkata arwah dipukul menggunakan peralatan, bagaimanapun arwah tidak nampak  peralatan itu.
 Syed Shahril berkata arwah mendedahkan maklumat itu menerusi soalan yang dikemukakan kepadanya.
Saksi ke-18 itu  berkata beliau menyediakan sebanyak 15 soalan untuk ditanya kepada arwah selepas berbincang bersama pengarahnya.
"Saya menanyakan soalan itu kepada arwah pada 12 Dis 2018… sebelum bertanyakan soalan berkenaan, saya mendapatkan kebenaran daripada ayah arwah dan pihak hospital. Ketika itu, arwah kelihatan ceria dan memberangsangkan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pengendali inkues.
"Saya masuk ke dalam bilik bersama seorang rakan saya bernama Shafie… saya membawa dokumen yang mengandungi soalan untuk arwah ditandakan. Ketika itu arwah baru selesai fisioterapi, kemudian saya bagi dokumen berkenaan kepada arwah.
"Saya tanya, ‘Adib boleh menulis ke? Dia menunjukkan syarat "thumbs up". Adib memegang dokumen berkenaan dengan tangan kiri sebab dia kidal. Kemudian dia meminta pen dengan isyarat tangan... dia ambil pen dan membaca semua soalan, saya pun bacakan soalan berkenaan," katanya sambil menambah dua orang jururawat bersama mereka ketika arwah menjawab soalan berkenaan.
Lima belas soalan yang ditanyakan kepada arwah adalah seperti diberikut.
1. Adakah perusuh cuba membuka pintu van EMRS? dia menandakan di ruang "Ya".
2. Adakah Adib cuba menghalang mereka daripada membuka pintu EMRS, dia menjawab "Ya".
3. Adakah mereka berjaya membuka pintu van EMRS? "Ya"
4.Apakah perasaan Adib ketika mereka membuka pintu EMRS? Adib menandakan ruang "tertekan"
5. Adakah Adib ditarik keluar daripada EMRS? "Ya"
6. Jika ditarik,  mereka tarik di bahagian mana? Adib menjawab "bahu".
Kepada soalan ketujuh dan kelapan iaitu "adakah Adib jatuh" dan "adakah semasa Adib jatuh, Adib ditarik", saksi itu  berkata Adib hanya menggeleng kepala seolah tidak ingat. Dia tidak menjawab dalam dokumen berkenaan.
Saksi itu juga berkata, Adib juga tidak menjawab soalan kesembilan iaitu "semasa Adib dipukul, Adib sedar atau tidak". Dia hanya menggelengkan kepalanya.
Bagi soalan ke-10 adakah mereka memukul dengan peralatan, Adib menjawab "Ya".
Bagi soalan ke-11, iaitu jika guna peralatan, ada nampak tak peralatan, Adib menjawab "tidak".
Bagi soalan ke-12, objek apa yang digunakan perusuh sama ada batu, kayu, botol dan lain-lain, arwah menandakan di ruang "lain-lain peralatan".
Soalan ke-13, adakah Adib sedar di lokasi atau di hospital, dia menandakan "hospital". 
Soalan ke-14, adakah Adib berasa terancam dia menjawab "Ya", manakala bagi soalan ke-15, adakah Adib cuba bertindak mempertahankan diri, arwah tidak menjawab tetapi hanya menunjukkan isyarat tidak ingat.
Selepas selesai menanyakan kesemua soalan itu kepada arwah selama kira-kira 25 minit, Syed Shahril Anuar berkata beliau kemudian beredar dari hospital dan memaklumkan perkara itu kepada pengarahnya.
Ketika menceritakan detik-detik arwah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, saksi  itu berkata hubungan di antara beliau dan arwah adalah sebagai "brotherhood" walaupun arwah baru berkhidmat empat tahun.
"Ada satu hari, arwah meminta cuti kahwin kepada saya, jadi saya pun berguraulah dengan mengatakan kad jemputan pertama kena bagi kepada saya, baru saya akan meluluskan cuti...kami pun ketawa bersama," katanya sambil mengesat air matanya. 
Ketika menceritakan perwatakan arwah, saksi  itu berkata arwah adalah seorang yang suka membantu orang dan suka senyum.
"Saya juga mencadangkan nama arwah untuk menerima anugerah perkhidmatan cemerlang," katanya.
Ketika ditanya peguam Shazlin Mansor yang mewakili keluarga arwah, Kementerian Perumahan  dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan  juga Bomba tujuan saksi menyediakan soalan berkenaan, beliau berkata ia kerana ketika itu wujud spekulasi, arwah dilanggar atau dicederakan serta timbul perasan ingin tahu perkara  yang sebenar.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan  menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.
Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...