Skip to main content

Azmin, Zuraida tidak dipecat


KUANTAN -- Dakwaan yang tersebar sejak beberapa hari lepas bahawa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya  Zuraida Kamaruddin telah dipecat dari parti itu hanyalah khabar angin.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat parti itu Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia berkemungkinan dilakukan pihak yang mempunyai agenda tertentu.

"Mereka masih bersama kita (PKR), perkara itu tidak benar sama sekali, malah saya sendiri tidak mendengar apa-apa tentang perkara itu (soal pemecatan) dari pucuk pimpinan,” katanya.  

Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Anjuran Persatuan Tionghua Kuantan, di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abd Rahim Muda mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan laporan kononnya kedua-dua pemimpin berkenaan juga telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sambil menyifatkannya sebagai satu perkara yang tidak masuk akal.

“Mereka berdua masih kekal sebagai 'orang kuat' PKR, jadi perkara itu juga hanya khabar angin," katanya.

Laporan yang mendakwa Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat daripada PKR telah tular dalam laman media sosial termasuk Facebook dan Twitter, sejak beberapa hari lalu, namun kedua-dua pemimpin  berkenaan  telah menafikan laporan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata di bawah pentadbiran Kerajaan PH pada masa kini,  peranan badan bukan keranaan (NGO) amat penting dalam membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kita perlu bekerjasama dengan semua pihak, seperti NGO dan persatuan sivil yang mewakili masyarakat dan saya percaya melalui hubungan ini lebih banyak masalah dapat diselesaikan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya yang turut menyalurkan sumbangan kepada 71 badan gabungan Persatuan Tionghua Kuantan pada majlis itu.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...