KUCHING -- DAP Sarawak hari ini memberi amaran mengenai tindakan undang-undang jika Jawatankuasa Hak Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menggantung kehadiran ADUN Padungan, Wong King Wei pada persidangan DUN berhubung kenyataannya terhadap Speaker Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen, berkata bukan untuk Speaker untuk merujuk mana-mana anggota DUN kepada Jawatankuasa Hak Keistimewaan kerana beliau sepatutnya tidak berat sebelah dan, tambahan pula, beliau adalah juga pengerusi jawatankuasa itu.
Beliau juga berkata tindakan Mohammad Asfia merujuk Wong ke Jawatankuasa Hak Keistimewaan adalah tidak perlu kerana Wong hanya membuat cadangan bagi pembaharuan DUN untuk meningkatkan peranannya.
Mohammad Asfia merujuk Wong kepada jawatankuasa tersebut pada 12 Nov tahun lepas selepas ADUN itu mendesak beliau meletak jawatan sambil berkata beliau adalah penghalang utama bagi pembaharuan dalam DUN.
Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) Pelabelan & Operasi Pemantauan Bersepadu Antara Agensi ASEAN 2019.
Beliau berkata Mohammad Asfia telah membuat "keputusan yang teruk" pada masa lalu dalam kes ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon.
Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai anggota dewan berhubung dakwaan memiliki dua kewarganegaraan tetapi Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pembatalan kelayakan itu adalah tidak sah.
"Sungguh memalukan bahawa badan tertinggi penggubal undang-undang di Sarawak dapati oleh mahkamah telah bertindak bercanggah dengan undang-undang, dan ia mungkin boleh berlaku lagi," kata Chong, yang juga Anggota Parlimen Stampin dan ADUN Kota Sentosa.
Comments
Post a Comment