Skip to main content

Kedai alat tulis proses dadah


NIBONG TEBAL -- Seorang peniaga alat tulis di Simpang Ampat dekat sini ditahan Rabu lepas kerana disyaki menjadi ketua sindiket memproses dan mengedar dadah dengan menjadikan kedainya di Taman Merak Jaya di sini sebagai makmal memproses dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran hari ini berkata peniaga berumur 30 tahun itu ditangkap di rumahnya di Bandar Tasik Mutiara hasil penahanan adik tirinya berumur 29 tahun bersama-sama 5.4kg heroin dalam serbuan pertama pada kira-kira pukul 9.30 malam.
“Dalam serbuan pertama itu, adik tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan ketika berada dalam lorinya. Polis menjumpai heroin dalam lori itu semasa  diperiksa,” katanya pada sidang media.
Susulan penangkapan itu, polis menyerbu kedai milik peniaga itu di Taman Merak Jaya dan mendapati tingkat atas kedai itu telah dijadikan seperti makmal dipercayai untuk memproses dadah jenis heroin manakala tingkat bawahnya kelihatan seperti kedai alat tulis biasa.
Polis juga merampas kira-kira 7.7kg sebuk kafein, pelbagai cecair kimia dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk memproses dan membungkus dadah di premis itu.
Ketika diserbu, peniaga itu juga didapati memiliki bersama-samanya 225g heroin lagi.
Narenasagaran berkata keseluruhan dadah yang ditemui bernilai kira-kira RM66,500 dan polis turut menyita dua buah kereta termasuk sebuah kereta mewah, barang kemas bernilai kira-kira RM20,700 dan wang tunai RM5,000.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kepakaran untuk memproses sendiri heroin berkenaan yang dipercayai diedar untuk pasaran gelap di sekitar negeri ini.
"Jumlah heroin yang dirampas boleh diguna oleh sehingga 14,500 penagih dadah," katanya.
Beliau berkata peniaga berkenaan juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 Feb untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...