Skip to main content

Laporan SPRM skandal land swap


PUTRAJAYA -- Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkenaan isu ‘land swap’ atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan membabitkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM di sini, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang, terhadap 16 isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Mohd Nasaie yang ditemui media di ibu pejabat SPRM untuk membuat laporan itu berkata kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.

"Dipercayai terdapat campur tangan politik, kecuaian urus tadbir dan beberapa kesilapan dalam pelaksanaan projek dalam kedua-dua projek itu yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengancam kepentingan pertahanan negara,” katanya. 

Menurutnya, pembinaan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11 tetapi arahan telah dikeluarkan untuk membina kedua-dua kem tersebut dipercayai atas faktor-faktor politik.

Mohd Nasaie berkata Kementerian Pertahanan pada asalnya merancang untuk membina Kem 1 Briged di Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai salah satu gantian kepada tapak Kem Kinrara secara 'land swap' namun dibatalkan dan digantikan dengan pembinaan Kem Paloh dalam Parlimen Sembrong, Johor.

Beliau mendakwa terdapat bukti arahan politik dan penglibatan secara langsung pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memindah dan menambah pengundi tentera dan keluarga mereka di kedua-dua kem yang melibatkan Parlimen Sembrong dan Parlimen Bagan Datuk, Perak.

Mohd Nasaie berkata terdapat juga keraguan dalam penilaian tanah tapak Kem Kinrara yang ditetapkan kerajaan ketika itu iaitu berjumlah RM500 juta, sedangkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pula RM758 juta.

"Penilaian oleh pihak JPPH dan penetapan harga oleh pihak kerajaan tersebut berlaku di waktu yang sama iaitu pada Mei 2015. Oleh itu, tidak timbul perbezaan harga tersebut disebabkan oleh perubahan masa yang menyebabkan nilainya lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat arahan supaya tanah untuk pembinaan Kem Paloh dibeli pada harga 43 peratus lebih tinggi daripada nilai semasa iaitu RM10.47 juta bagi 62 ekar (25 hektar) walaupun JPPH meletakkan penilaian harga hanya RM7.28 juta.

Menurutnya, kedua-dua projek itu juga telah diarahkan untuk dimulakan pembinaannya dalam keadaan kontrak antara kerajaan dan pihak syarikat belum dimuktamadkan selain dijalankan tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan.

Mohd Nasaie berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu menyebabkan kepentingan dan keselamatan anggota serta matlamat untuk memperkukuh ketenteraan terabai.

Pembinaan Kem Briged 1 di Port Dickson, katanya, lebih diperlukan memandangkan kem sedia ada di Rasah sangat usang.
Beliau mendakwa anggota tentera yang dipindahkan ke Kem Hutan Melintang dalam keadaan kem tersebut belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Mohd Nasaie berharap SPRM dapat menyiasat pihak yang terlibat secara langsung dalam memutuskan dan melaksanakan dua projek berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...