Skip to main content

Lelaki pun jadi mangsa gangguan seksual


SUNGAI PETANI -- Kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja, kata  Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2013 hingga 2017,  257 lelaki dilaporkan menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual.
"Selebihnya adalah mangsa wanita...memang ada kes gangguan seksual ini melibatkan lelaki yang kadang kala mangsa malu untuk membuat laporan kerana takut ada yang tidak percaya yang mereka lelaki pun menjadi mangsa gangguan seksual ini. Ini antara halangan dihadapi mangsa untuk buat laporan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar 'Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan INTAN Dr Mohd Bakhari Ismail.
Yeoh berkata sehubungan itu laporan oleh pengadu tentang gangguan seksual berkenaan tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu diberikan perhatian serius supaya siasatan lanjut dapat dijalankan sebaik mungkin.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata sejumlah 1,187 daripada 1,218 kes itu masih dalam siasatan manakala 31 orang telah pun dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Yeoh percaya masih terdapat kes gangguan seksual di tempat kerja yang tidak dilaporkan berikutan terdapat pelbagai faktor menyebabkan ramai mangsa tidak melaporkan gangguan itu antaranya disebabkan mekanisme membuat laporan dan siasatan terhadap pesalah laku mengambil masa terlalu lama.
"Sedangkan, mangsa terpaksa berdepan dengan pesalah laku di tempat kerja sepanjang tempoh siasatan dilakukan. Ini mengakibatkan mangsa akan mengalami trauma berganda termasuk kesan daripada pandangan rakan-rakan sekeliling di tempat kerja.
Di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita kini sedang menunggu hasil kajian impak yang akan dijadikan panduan dalam menggubal Akta Gangguan Seksual supaya kelemahan perundangan dan peraturan sedia ada dapat diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata Akta Gangguan Seksual yang bakal digubal juga antaranya akan memberi fokus kepada menghukum pihak yang mendiamkan laporan atau aduan salah laku, dan memperbaiki mekanisme untuk memudahkan mangsa membuat laporan.
Dalam pada itu, katanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah pun mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5, Tahun 2018 berhubung 'Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja' yang berkuat kuasa mulai 12 Dis tahun lepas bagi menggantikan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22, Tahun 2005.
Yeoh berkata pekeliling itu dikeluarkan untuk menambah baik prosedur sedia ada  dalam mengendalikan kes gangguan seksual serta mempercepatkan proses tindakan tatatertib yang boleh diambil ke atas pegawai awam yang disyaki terlibat.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...