Skip to main content

Saya nampak kesan kaki di rusuk kanan


SHAH ALAM -- Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim diberitahu terdapat kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba itu selain kesan tapak kasut di bahagian sama.

Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R. Narresh, 30, berkata kesan lebam itu dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota itu kerana ada tanda kemerahan di bahagian sama.

"Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

"Saya juga nampak ada kesan garisan tapak kasut pada rusuk kanan (Muhammad Adib). Saya kemudian lap dan ianya (kesan tapak kasut) hilang," katanya ketika menjawab pertanyaan pegawai pengendali Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di sini hari ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara (IJN).

Mengulas lanjut, Narresh berkata pihaknya melihat keadaan Muhamamd Adib itu secara dekat ketika dia dan mangsa berada di dalam bucket (bahagian belakang) sebuah Mitsubishi Storm dipandu seorang lelaki yang bersetuju membantu membawa anggota bomba itu ke hospital.

Katanya beliau memeriksa nadi anggota berkenaan yang didapati lemah ketika itu selain tidak bercakap ataupun memberikan sebarang respons kepadanya.

"Saya ingat lagi dia dalam keadaan sesak nafas, matanya tertutup dan tidak berikan respons," katanya.

Narresh ketika mengimbas kembali peristiwa itu berkata tunang Muhammmad Adib ketika itu sempat mengirimkan pesanan melalui WhatsApp untuk mengetahui keadaan Muhammad Adib.

"Masa itu, ada beberapa panggilan masuk di telefon anggota bomba itu dan saya menjawab pada panggilan ketiga daripada Penguasa Bomba Azrul.

"Selang beberapa minit dalam pukul 1.30 pagi, ada pesanan mesej masuk daripada tunang anggota bomba itu yang bertanyakan, ‘B di mana…buat apa?'," katanya.

Narresh sebelum itu memaklumkan sewaktu beliau tiba di lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, tiada siapa yang tampil membantu anggota bomba yang ketika itu tersandar pada bumper sebuah kereta dengan keadaan tidak sedarkan diri, sebaliknya orang ramai sibuk merakamkan gambar dan video.

"Bila saya masuk ke dalam crowd (orang ramai), saya tengok semua orang sibuk hendak ambil gambar dan video sahaja.

"Saya beritahu saya anggota sukarela APM dan masuk ke dalam melihat anggota bomba berkenaan.

"Saya tahu dalam keadaan itu saya tidak boleh pegang dia (Adib) dahulu, saya perlu alihkan kemudian barulah bawa dia ke hospital. 
"Namun, saya tidak nampak siapa yang memukul anggota bomba berkenaan," katanya.

Menceritakan apa yang berlaku selepas Muhammad Adib sampai di wad kecemasan hospital yang merawat beliau (Pusat Perubatan Subang Jaya - SJMC), saksi kesembilan itu berkata pihak hospital pada mulanya dilihat enggan menerima anggota bomba tersebut tetapi akhirnya bersetuju menerima beliau untuk masuk wad.

Mereka tanya mana kad pengenalan, kad bomba dan kad perubatan Muhammad Adib.

"Saya kata kepada mereka jika you (anda) tidak selamatkan dia, nyawa (Muhammad Adib) akan terancam. Dia orang kerajaan dan kalau bangunan terbakar, bomba datang. Jadi tolonglah selamatkan dia," katanya.

"Pada masa itu, baru dia mengatakan okay dan membawa Muhammad Adib masuk," katanya.

Beliau berkata selepas kira-kira 15 minit, beberapa anggota bomba dilihat tiba dan terus bercakap dengan jururawat hospital berkenaan.

Beliau juga berkata pihaknya sempat menyampaikan telefon bimbit milik Muhamamd Adib kepada abangnya yang kemudian sampai di hospital itu.



Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...