Skip to main content

Setiausaha Akhbar menteri lebih sudu dari kuah


KUALA LUMPUR -- Isu melibatkan RTM kini selesai selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menjelaskan agensi penyiaran itu tidak melakukan sebarang kesalahan susulan kritikan keras kerana didakwa gagal menyiarkan secara langsung ucapan pemimpin tertentu semasa majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Ahad lepas. 
Kisah bermula apabila Lim Swee Kuan, iaitu Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, memuat naik kenyataan menerusi Facebook bertanyakan sama ada RTM mensabotaj kerajaan serta mahu “pihak yang berkenaan di RTM dihukum”.
Lim juga berkata surat rasmi akan dihantar kepada Gobind berhubung isu itu.
Ini susulan RTM tidak menyiarkan secara langsung ucapan Loke serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis berkenaan yang menyaksikan hanya  ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiarkan secara langsung. Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Susulan itu, Gobind mengambil tindakan segera dan mengarahkan RTM menghantar laporan serta menyenaraikan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan permintaan untuk membuat liputan acara. 
Selepas meneliti laporan, Gobind pada Khamis menyatakan RTM tidak bersalah setelah mendapati agensi penyiaran itu mematuhi SOPnya iaitu hanya menyiarkan ucapan perdana menteri pada sebarang program yang turut dihadiri menteri dan menteri besar lain. 
Bagaimanapun Gobind menyatakan siaran ucapan oleh menteri lain boleh dibuat secara langsung jika ada permintaan namun dalam kes ini tiada permintaan sedemikian dibuat.
Penjelasan beliau membersihkan nama stesen TV berusia 73 tahun milik kerajaan itu namun telatah Lim dilihat sebagai kurang wajar oleh pengamal media dan mencetuskan polemik sama ada ia melanggar kebebasan media. 
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata Bernama dan saluran TVnya Bernama News Channel juga mengamalkan SOP sama berhubung siaran langsung.
Katanya seperti juga RTM, hanya ucapan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong akan disiarkan secara langsung.
“Itulah yang sepatutnya. Siaran langsung bukan untuk semua dan hanya untuk individu paling penting pada acara itu. Tambahan pula siaran langsung menelan kos yang tinggi,” kata Azman.
Beliau berkata dalam kes ini, setiausaha akhbar seharusnya memahami tanggungjawab dan situasi, bagi mengelakkan keluarnya kenyataan sedemikian.
Azman juga memuji Gobind kerana menangani isu itu secara profesional selain memastikannya tidak bertambah buruk sementara menunggu respons RTM sebelum membuat keputusan.
Barangkali pendekatan ini harus diguna pakai oleh mereka yang terbabit dalam media termasuk setiausaha akhbar agar mereka mendapatkan pencerahan dan memahami perkara yang berlaku sebelum melenting tanpa usul periksa, sekali gus mengelakkan malu sendiri pada masa akan datang.
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata prosedur RTM mengenai siaran langsung bukan suatu yang baharu kerana negara lain termasuk Singapura juga mengamalkan perkara sama.
Katanya ini juga bukan kali pertama hanya ucapan perdana menteri disiarkan secara langsung oleh RTM.
“Sekiranya ada beberapa menteri termasuk perdana menteri dijangka menyampaikan ucapan, hanya ucapan perdana menteri akan disiarkan secara langsung kerana perdana menteri merupakan pemimpin teratas.
“Kecuali jika ada perdana menteri negara luar bersama-sama perdana menteri kita, maka ucapan kedua-dua pemimpin itu akan disiarkan secara langsung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dari perspektif kewartawanan, kandungan ucapan perdana menteri mempunyai lebih impak dan nilai berita berbanding menteri lain pada acara sama.
“Selain itu, siaran langsung juga menelan belanja yang tinggi,  justeru jika semua ucapan disiarkan secara langsung, ini akan membazirkan masa tayang, bermakna kerugian pendapatan. Oleh itu, badan penyiaran akan memilih ucapan paling penting,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...