Skip to main content

Ayah arwah Muhammad Adib hanya mahukan keadilan


SHAH ALAM -- Bapa anggota bomba, arwah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa anaknya  meracau semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara  (IJN) selepas kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lepas.

Mohd Kassim, 64, seorang petani berkata seorang jururawat yang bertugas pada waktu  malam hari kejadian, memaklumkannya bahawa arwah dalam keadaan meracau.

"Kira-kira pukul 3 pagi, jururawat memberitahu saya Adib meracau trauma. Saya pun pergi jumpa Adib yang berada dalam keadaan trauma,  saya menenangkan arwah. Alhamdullilah, dia pun tenang sikit," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peguam Shazlin Mansor yang mewakili keluarga arwah, Kementerian Perumahan  dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga Bomba dalam inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

 Ketika menceritakan detik-detik bersama anaknya, saksi itu berkata beliau melihat arwah di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) kali pertama dalam keadaan teruk di mana seluruh badannya bengkak selain terdapat kesan calar di jari tangan kiri dan kanan.

Katanya, selepas arwah dipindah ke IJN, arwah kelihatan lebih baik dan sembuh, sehingga boleh memberi respons kepada soalan yang diajukan kepadanya.

"Ada masa, arwah menulis di papan putih, bertanyakan khabar, perbelanjaan ibu, ada sekali dia menulis nama tunangnya. Saya faham bahawa dia nak jumpa tunang dia, maka kami pun bawalah tunangnya untuk berjumpa arwah.

"Dia juga pernah menulis mahu balik ke kampung untuk mendapatkan rawatan, namun saya memberitahu dia, inilah (IJN) tempat yang terbaik untuk menerima rawatan kerana ada doktor pakar...dia pun dapat menerima," katanya dan menambah semasa mengusap rambut arwah beliau mendapati ada benjolan di bahagian belakang kepala arwah.

Saksi  itu juga berkata, keluarganya berharap sangat arwah yang merupakan anak kedua daripada empat orang anaknya akan sembuh secepat mungkin. 
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali inkues, saksi yang dipanggil dengan nama gelaran 'Pak Kassim' berkata beliau tidak pernah bertanya bagaimana arwah mengalami kecederaan.

"Saya tak pernah tanya, saya tahu dia trauma, saya tak nak susahkan dia, sebab itu saya tak tanya," katanya.

Ditanya Hamdan adakah pada bila-bila masa arwah secara sukarela memberitahu macam mana beliau cedera saksi itu menjawab 'tak pernah'.

Menceritakan perwatakan arwah, saksi  itu berkata arwah merupakan seorang pendiam dan sering memberi bantuan dari segi kewangan selain memberi bantuan dari segi tenaga dengan bersawah.

Warga emas itu yang kelihatan tenang juga memberitahu beliau menuntut keadilan untuk kematian anaknya dengan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang merancang dan terlibat dalam rusuhan sehingga menyebabkan kematian arwah. 

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...