Skip to main content

Bermain dengan rusa manja di Kulim


KULIM -- Seorang pesara tentera dari Kampung Dusun, di sini sanggup menghabiskan wang pencen dan simpanannya sebanyak RM240,000, mengusahakan ladang ternakan rusa yang kini telah menjadi salah satu produk agro pelancongan baharu, di sini.

Ladang diusahakan Muhammad Zuliadi Mail, 43, yang mulanya bertujuan menjual induk dan daging rusa, kini menjadi tumpuan masyarakat setempat dan luar merasai pengalaman berinteraksi serta ‘bermanja’ dengan haiwan ruminan itu.

Menurut Muhammad Zuliadi, ladang ternakan berkeluasan satu hektar itu diusahakannya, sejak dua tahun lalu bermula dengan 19 induk rusa yang dibeli dari Kelantan, Kedah dan Perak.

“Pada permulaan, ternakan rusa ini bertujuan menjual induk dan daging sahaja, namun ramai yang minta supaya saya buka ladang saya ini untuk memberi peluang orang ramai mendekati haiwan liar ini.

“Jadi saya mengambil inisiatif menjinakkan semua rusa dengan pelbagai teknik sehingga berjaya dan boleh berinteraksi dengan manusia,” katanya.

Muhammad Zuliadi berkata rusa-rusanya yang dahulu liar, kini mudah didekati dan pengunjung boleh mengusap, memberi makan dan bergambar.

“Rusa-rusa di sini sudah menjadi manja hasil latihan saya, berbanding di tempat lain, haiwan itu mungkin masih liar, malah di zoo pun kita tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan rusa seperti di ladang saya ini,” katanya yang turut menawarkan khidmat latihan menjinakkan haiwan itu.

Menceritakan idea menternak haiwan itu, Muhammad Zuliadi berkata, ia bermula kira-kira 10 tahun lalu ketika beliau masih berkhidmat dalam tentera.


“Ketika sedang mengikuti operasi di tengah hutan, saya ternampak sekawan rusa dan bila melihat haiwan ini saya rasa tenang dan dari situ timbul minat dan bercita-cita untuk usahakan ternakan rusa,” katanya.

Beliau seterusnya mengikuti kursus dan latihan ternakan ruminan di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri di Dungun, Terengganu dan melawat beberapa ladang rusa di negara ini untuk mendapatkan pengetahuan dan inspirasi mengenai kaedah ternakan haiwan itu.

Muhammad Zuliadi berkata, berkat usaha keras sejak dua tahun lalu ladang ternakannya yang terletak dua kilometer dari pusat bandar ini, kini memiliki 46 ekor rusa dan boleh dikunjungi setiap hari bermula 8.30 pagi sehingga 11 pagi dan 5 petang hingga 7 petang.

“Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ladang dibuka untuk lawatan biasa, manakala Isnin, Selasa, Rabu, dan Khamis pula dibuka untuk lawatan berkumpulan. Langkah ini bagi mengelakkan kesesakkan dan memberi peluang kepada semua pengunjung berinteraksi dengan rusa di sini.

“Harga tiket juga adalah murah hanya RM2 untuk dewasa, dan RM1 untuk kanak-kanak, mereka boleh memberi makan dan bermain sepuasnya dengan rusa di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lanjut mengenai ladang rusa itu boleh menghubungi Muhammad Zuliadi di 013-2249173. -- Bernama

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...