KUALA LUMPUR -- Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan banyak membuang masa dalam tahun pertamanya untuk menyelesaikan pelbagai masalah besar yang ditimbulkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perdana Menteri berkata gabungan itu diwujudkan untuk menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi yang telah mencuri dan membazirkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat, namun tanpa diduga telah memperoleh mandat rakyat dalam pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lepas.
"Ia satu pilihan raya umum yang sangat penting kerana ia memberi peluang untuk menamatkan sebuah kerajaan yang korup. Sekarang kita tidak lagi dikenali sebagai sebuah negara kleptokrasi.
"Sukar untuk membayangkan apa akan jadi kepada negara sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak bangkit menyahut seruan untuk menumbangkan kerajaan terdahulu. Kita telah dapat mengelakkan mala petaka kewangan yang hanya menanti masa untuk berlaku sekiranya skim penipuan untuk melindungi kesalahan-kesalahan 1MDB tidak ditemui dan dibetulkan,” kata beliau dalam ucaptamanya pada pelancaran ‘Invest Malaysia 2019’.
Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata, dalam tempoh sepuluh bulan pentadbirannya, kerajaan menyedari sepenuhnya perasaan rakyat bawahan.
“Kerajaan kini sudah mengetahui sebesar mana kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan kleptokrasi tersebut terhadap negara. Ia bukan sengaja mahu diperbesar-besarkan tetapi hampir setiap hari kami membongkar kerosakan baharu,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata walaupun tugas itu belum muktamad dan mungkin akan mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan, namun kerajaan perlu terus mara ke hadapan untuk memajukan negara.
"Kita ada banyak tugas yang belum selesai. Kita perlu membangunkan negara dan untuk mencapai tujuan itu, kita perlu mengatur semula Malaysia. Matlamat kita jelas, untuk menjadi sebuah negara maju daripada segala segi.
"Pembangunan yang dijalankan hendaklah memberi manfaat kepada setiap rakyat, di mana kekayaan dikongsi bersama dan pembangunan yang dicapai adalah pembangunan yang lestari. Kita komited untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang turut mengandungi keadilan sosial," kata beliau.
Comments
Post a Comment