Skip to main content

Jaga-jaga ancaman obor-obor ketika cuaca panas


KUALA NERUS -- Orang ramai diminta berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di pesisir pantai dan laut berikutan cuaca panas dan kering ketika ini kerana ada antara spesiesnya mampu membunuh dalam tempoh tiga minit, kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur,  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz.

Beliau memberi peringatan itu susulan maklumat yang diperolehnya mengenai peningkatan jumlah obor-obor di sekitar perairan negara berikutan musim panas ketika ini.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan negeri dan penguat kuasa mengenal pasti lokasi perairan yang berbahaya berikutan kehadiran obor-obor ini bagi mengelak ia dijadikan tempat rekreasi mandi- manda oleh pelancong dan orang tempatan.

"Pemasangan bendera merah dan papan tanda mengenai ancaman obor-obor ini pasti dapat menyelamatkan orang ramai daripada sengatannya," katanya.

Walaupun hanya dua spesies obor-obor yang dikesan aktif di negara ini iaitu Chirop­soides Buitendijki dan Morbakka, namun kehadiran spesis Irukandji adalah paling berbahaya ia kerana mampu membunuh manusia hanya dalam tempoh tiga minit itu, sesuatu yang tidak mustahil, katanya. 

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata keadaan itu berlaku ekoran sumbangan air balast di persekitaran Selat Melaka yang menjadi laluan kapal paling sibuk di dunia.

“Air balast dalam setiap kapal dagang (dalam tangki pengimbang) yang melalui Selat Melaka kebiasaannya disedut dari pelbagai negara tropika menyebabkan risiko obor-obor berbahaya itu turut disedut, dibawa dan dilepaskan dalam perairan Malaysia (untuk berlabuh) sangat tinggi. 

“Selain itu, nutrien yang membawa fosforus dan nitrogen daripada aktiviti pertanian juga adalah faktor penggalak kepada pertumbuhan plankton di kawasan pantai yang menggunakan banyak oksigen dalam air di mana ia adalah sumber makanan obor-obor yang turut menyumbang kepada peningkatan spesies akuatik tersebut,” katanya.

Menurut beliau, teori kehadiran spesies Irukandji yang turut dikenali obor-obor merah itu diperkuatkan dengan peningkatan suhu dunia yang menyebabkan hidupan marin itu berpindah mencari tempat yang lebih sejuk.

Pada 10 hingga 20 tahun dahulu, peningkatan suhu dunia hanyalah antara satu darjah sahaja tapi kini ia telah mencapai dua hingga tiga darjah dalam masa setahun malah tahun ini, para pengkaji mengesan  berlaku peningkatan suhu sehingga dalam dua darjah di bahagian laut.

“Jadi ini antara punca kenapa hidupan marin berpindah mencari tempat yang sejuk dan obor-obor tak terkecuali dalam mencari tempat yang sesuai untuk membiak ,” katanya.

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata, selain kesan sengatan obor merah yang boleh membawa maut, spesies obor-obor lain juga berbahaya kerana seawal tiga minit juga (selepas disengat) ia boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi, pening, muntah, tekanan darah naik secara mendadak dan masalah kulit.

“Selepas tiga minit itu, kita dah boleh nampak kesan dia. Lepas tu kita akan nampak kesan yang disengat  pada bahagian kulit. Ada sesetengah laporan mengatakan yang kita boleh guna cuka untuk letak dekat kawasan berbisa tetapi tiada sebarang pengesahan dari sudut saintifik.
Apa yang boleh kita buat apabila terkena ialah basuh dengan air laut dan perlu segera ke hospital. Kalau boleh maklumkan apakah warna obor-obor itu atau ciri-cirinya untuk memudahkan rawatan perubatan diberi kepada mangsa” katanya.

Populasi obor-obor di perairan Malaysia dikatakan tinggi dalam bulan Julai, Oktober, November dan Disember yang mana kebanyakan obor-obor ini boleh dijumpai di semua perairan negara tropika namun daripada 2,000 spesies obor-obor yang diketahui, lebih kurang 100 spesies sahaja yang boleh mendatangkan bahaya  kepada manusia.

Menjawab soalan sama ada nelayan sensitif berkaitan serangan obor-obor tersebut, beliau yang sentiasa bergaul dengan golongan itu berkata mereka amat memahaminya dan sentiasa beringat mengenai ancaman tersebut.

Apa yang dikhuatiri ialah pelancong dan mereka yang gemar bermain di tepi pantai kerana tidak maklum ‘bisa’ obor-obor malah ada yang tidak mengendahkan tanda amaran seperti bendera merah yang telah dipacak oleh pihak penguat kuasa.

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata dalam pemerhatiannya beberapa hari lepas di sekitar Pantai Kuala Nerus, terdapat beberapa spesies obor-obor berada di tepi pantai dan senario itu amat berbahaya jika tidak dipantau.

"Bulan lepas pula, kami terima maklumat ada pihak yang menemui Physalia iaitu haiwan dalam  kategori  filum cnidaria yang berada bersama-sama obor-obor. Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan.

"Haiwan ini biasanya dijumpai di Lautan Pasifik. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah.

"Tidak ada antivenom untuk bisa yang disebabkan sengatan Physalia. Rawatan adalah berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom," katanya. 

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...