Skip to main content

Kenderaan rasmi Mufti Perlis dibakar


KANGAR -- Kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin rosak teruk dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian awal pagi ini di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini.

Ketua Polis Perlis Datuk Mushar Noor Mohd berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam tersebut mengalami kebakaran pada bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri selain cermin belakang dan depan dipecahkan.

“Siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat kerana ada kesan pecahan cermin belakang dan bahagian botol mengandungi petrol yang dipercayai digunakan untuk tujuan membakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata kebakaran dipadamkan oleh pasukan bomba dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, Mohd Asri berkata beliau menyedari kejadian ketika sedang bersiap menunaikan solat subuh apabila isterinya memberitahu ternampak api sedang marak di luar rumah mereka.

“Saya cuba untuk padamkan api di dalam kereta menggunakan alat pemadam api dan saya cuba nak buka bahagian depan enjin tetapi gagal,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya.

Mohd Asri berkata kejadian itu memusnahkan sejumlah buku miliknya yang ada di dalam kereta tersebut.

Beliau juga menolak kejadian berpunca daripada kegiatan khianat memandangkan dua lagi kenderaannya tidak terjejas.

"Saya juga tak syak siapa-siapa. Biasalah manusia ini. Rakyat Malaysia baik dan hidup dalam aman,” katanya lagi yang menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.


Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...