Skip to main content

Lima projek utama dan besar untuk Kelantan


KOTA BHARU -- Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Beliau berkata kesemua projek tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini.

“Kami memutuskan projek ini perlu diberi keutamaan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas buat pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis  Tindakan Negeri (MTNg) dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MTNg, Dr Mohd Radzi Jidin.

Selain itu, Azmin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk program pembangunan Kelantan pada tahun ini iaitu melebihi RM200 juta daripada peruntukan sebelum ini.

Menurutnya, kesemua projek yang akan dilaksanakan itu mampu memberikan impak besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kelantan serta mampu membuka ruang pekerjaan kepada anak negeri ini.

Mengenai pembinaan LPT3, beliau menjelaskan ia membabitkkan laluan antara Gemuruh di Kuala Terengganu dan sehingga Tumpat yang sepanjang 150 kilometer.

Katanya, laluan berkenaan adalah penting terutamanya untuk merancakkan ekonomi di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh.

"Kawasan pelabuhan Tok Bali ini berpotensi menjadi koridor ekonomi baharu dan pentingnya dijadikan kawasan industri agar produk dapat dikeluarkan dengan lebih efisien lagi," katanya.

Bagi merancakkan kawasan tersebut, Azmin berkata, laluan baharu antara Pasir Puteh menghubungkan Machang dan Jeli perlu diwujudkan bagi mempercepatkan perhubungan laluan darat.

Katanya, sebelum ini semua urusan perlu melalui Kota Bharu terlebih dahulu dan ia melambatkan perjalanan.

Menyentuh mengenai naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta yang dijangka akan dapat dibina pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Ïni kerana telah berlaku kesesakan di lapangan terbang itu yang kini mencatat penumpang seramai 1.5 juta dan dengan siapnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun ia mampu menampung penumpang seramai empat juta orang dan menjadi hab lapangan terbang serantau," katanya.

Mengenai Jambatan Palekbang ke Kota Bharu itu, Azmin berkata, dengan siapnya jambatan berkenaan ia mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu yang kini laluan sedia ada adalah sesak terutama ketika masa puncak.

Bagaimanapun, Azmin berkata, kos pembinaannya akan ditentukan kemudian.

Bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 123 kilometer, beliau berkata sebahagian laluan berkenaan telah pun siap dan mengharapkan ia mampu disiap mengikut jadual dan berkualiti demi keselamatan pengguna.

"Laluan itu membabitkan perhubungan antara beberapa daerah di Kelantan dan dibina secara Central Spine Road yang juga termasuk cadangan Lebuh Raya Rakyat yang tidak mampu dibina oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Azmin berkata majlis berkenaan turut diberikan taklimat oleh kementerian berkaitan bagi mengetahui status semua projek tersebut.

Beliau berkata bagi melancarkan kesemua pembinaan projek itu, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan jalinan kerjasama kerana ia bukan bermotifkan politik.

Beliau mengulangi kerajaan Persekutuan tetap memberikan keutamaan kepada Kelantan agar tidak ketinggalan dan berharap segala apa yang dirancangkan akan mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...