Skip to main content

Lokman Noor didakwa cederakan pelajar universiti


KUALA LUMPUR -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua UMNO Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim antara empat individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti minggu lepas.

Lokman Noor, 46; Abdul Mutalif, 48 yang juga adik Anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Salmon Arif Budiman Mychlis, 48 (kerani Pejabat UMNO Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah Mohamed Nawi, 44 (penghantar surat sebuah firma guaman), masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan bagi melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu telah  melakukan mudarat awam dan seorang daripada tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Wong Yang Ke, 23, penuntut Universiti Malaya, dengan cara memegang rahang, menarik leher dan menarik rambut mangsa dari arah belakang.

Mereka dituduh  melakukan perbuatan itu di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di sini, pada 3.30 petang, 22 Mac lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lokman Noor juga didakwa atas satu pertuduhan dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada mangsa sama, dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa di tempat, tarikh dan masa sama.

Lokman Noor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Mutalif juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pelatih portal berita, pada ibu jari tangan kanan mangsa di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di sini, pada 3.45 petang, 22 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman serupa.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di tempat dan tarikh sama mengikut seksyen serupa.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed @ Mamat menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk dua tuduhan mencederakan manakala jaminan RM10,000 untuk Abdul Mutalif bagi tuduhan mencederakan dan tidak menawarkan jaminan terhadap Lokman Noor bagi tuduhan mengoyakkan plakad.

Peguam N.Logendran yang mewakili Lokman Noor memohon anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan tertuduh kini “kais pagi makan pagi” apabila tidak bekerja dan perlu menyara 10 anak selain isteri sedang mengandung dan akan melahirkan anak tidak lama lagi.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abdul Mutalif dan peguam Datuk M.Reza Hassan yang mewakili Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah memohon mahkamah memberikan jaminan minimum atas alasan ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada mahkamah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah membenarkan Lokman Noor diikat jamin RM9,000 bagi tiga pertuduhan, Abdul Mutalif RM6,000 bagi tiga pertuduhan manakala Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah masing-masing diikat jamin RM4,000 bagi dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu keempat-empat tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Mei.

Media sebelum ini melaporkan, tercetus insiden tolak-menolak antara penuntut Universiti Malaya dengan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Najib dikatakan sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...