Skip to main content

Mengaku tidak bersalah bunuh suami


SHAH ALAM -- Balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu pada Jun tahun lepas.

Bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 16 serta 13 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Wanita itu dan dua remaja lelaki tersebut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama telah membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Samirah yang memakai baju kurung hitam dan bertudung kelabu serta dua remaja lelaki tersebut tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dan ketibaan mereka disambut dengan tangisan anggota keluarga serta rakan-rakan yang memenuhi galeri awam.

Turut kelihatan penganalisis politik dan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang hadir dengan berkerusi roda. 

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim yang mengendalikan  pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 75 saksi telah dirakam percakapan dan buat masa ini, pihaknya masih belum memutuskan berapa ramai saksi yang akan dipanggil.

“Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan kepada semua tertuduh dan sekiranya pihak   pembelaan ingin memohon ikat jamin, kami akan buat bantahan,” katanya.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Samirah pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan ikat jamin anak guamnya pada tarikh lain.

Beliau turut mengemukakan aduan bahawa anak guamnya telah diletakkan ke dalam sebuah bilik  berasingan yang gelap di Penjara Kajang serta tidak diberikan pensil dan buku nota untuk membuat sebarang catatan berkenaan kes itu.

“Kami harap DPP (Timbalan Pendakwa Raya) akan melihat perkara ini. Ini pertama kali saya dengar perkara seperti ini berlaku di Penjara Kajang. Anak guam saya baru sahaja dibebaskan dari bilik tersebut selepas membuat aduan,” katanya.

Mohd Zain kemudian berkata pihaknya akan memaklumkan kepada pihak penjara untuk memberi hak-hak yang sepatutnya kepada tertuduh tertakluk kepada peraturan sedia ada.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua remaja tersebut pula mengemukakan aduan kepada mahkamah bahawa seorang daripada anak guamnya berumur 16 tahun yang ketika ini ditempatkan di Asrama Sentosa, Sentul, Kuala Lumpur telah diserang secara fizikal dan seksual.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya anak guamnya dipindahkan ke Sekolah Koreksional Puncak Alam dekat sini, yang menempatkan seorang lagi anak guamnya berumur 13 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan  kedua-dua remaja tersebut diasingkan mengikut umur.

Hakim Ab Karim kemudian berkata pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan hanya berdasarkan kepada aduan tersebut, justeru beliau meminta Hisyam supaya mengemukakan permohonan secara rasmi.

Mahkamah dalam pada itu mengekalkan perintah larangan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya kepada pihak media sebelum ini, iaitu tidak mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal selain media dilarang mengambil gambar atau menyiarkan gambar kedua-dua remaja tersebut yang masih di bawah umur di platform media cetak dan elektronik.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt 2018 membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Laporan bedah siasat kedua mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala dan bukannya berpunca daripada letupan telefon bimbit.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...