Skip to main content

Mungkin wujud BN 2.0 sesuai dengan keperluan semasa


KUALA LUMPUR -- MCA dan MIC kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usul pembubaran BN oleh MCA melalui resolusi Mesyuarat Agung Tahunan parti itu dibentang pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini, namun tiada konsensus dibuat mengenainya.

"MCA dan MIC masih kekal utuh tetapi kami ambil pandangan semua isu yang mesti kami tangani," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A, Vigneswaran.

MCA dalam resolusi Mesyuarat Agung Tahunannya tahun lepas antara lain mengusulkan supaya mandat diberi kepada jawatankuasa pusat BN untuk membubarkan gabungan itu dan memulakan usaha mewujudkan satu pakatan baharu.

Malah beberapa hari lepas, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama memberi bayangan untuk keluar daripada BN, namun hanya akan membuat keputusan akhir selepas mesyuarat MT BN diadakan.

Kedua presiden parti komponen BN itu dipetik sebagai berkata bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada BN bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Mohamad menegaskan sesuai dengan piagam BN, kesemua keputusan melibatkan parti itu perlu dilakukan secara konsensus, tidak boleh secara unilateral dan ini, menurutnya sekali lagi dipersetujui ketiga-tiga parti yang hadir.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiga-ketiga parti bersetuju dengan resolusi lain MCA supaya BN diselaraskan semula mengikut kehendak semasa.

Justeru, beliau berkata satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan secepat mungkin bagi meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan mewujudkan BN 2.0 sekiranya ada keperluan.

"UMNO memang tak nak lihat BN dibubarkan, kami dah banyak sejarah kepada negara...patut dikekalkan, kita boleh mengubah suai, bukan kerana sekali kalah terus nak kena bubar sebab itu kami menubuhkan jawatankuasa teknikal, terpulang kepada mereka untuk beri apa jua pandangan," katanya.

Pada mesyuarat kira-kira dua jam itu, Mohamad berkata, isu kerjasama UMNO dan PAS turut dibentangkan dan mendapat sokongan penuh MCA dan MIC.

"Tidak ada salah jika ia datangkan kebaikan kepada BN, kami tak terikat dalam perkara ini, kami bukan lagi dalam kerajaan, jadi setiap parti perlu perkasakan diri masing-masing, setiap parti perlu sedikit ruang atas sebab itu UMNO mempunyai sedikit ruang untuk bekerjasama dengan PAS

"Macam dulu kita bagi MCA untuk guna logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil Balakong, jadi ia fleksibel kita bukan tegar sangat," katanya.

Beliau berkata usul sama ada PAS akan dibawa masuk sebagai parti komponen baharu BN bagaimanapun tidak dibincangkan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC yakin PAS tidak mempunyai hasrat untuk menyertai BN dan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

Wee pula berkata hasil mesyuarat MT BN itu akan dibentang pada mesyuarat Anggota Jawatankuasa Pusat MCA pada 17 Mac ini.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...