Skip to main content

Pegawai DBKL, polis, bomba mengaku tidak bersalah rasuah


KUALA LUMPUR -- Lima penjawat awam termasuk anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan bomba mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung operasi rumah urut 'Ops Kota Raya'.

'Ops Kota Raya' dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) tahun lepas untuk membanteras sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik operasi pusat urut yang dilindungi anggota penguat kuasa.

Kelima-lima tertuduh ialah Qairul Redza Mohd Nadzri, Khairil Faezi Mohd Aziz, Sherman Salleh, Faizal Miza Zakariah dan Mohd Fadzli Jamaluddin, yang kesemuanya membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim Azman Ahmad, Azura Alwi dan Rozina Ayob masing-masing selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Di hadapan Hakim  Azman, Qairul Redza, 35, iaitu pembantu tadbir di Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, didakwa atas satu pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM30,000 dan dua pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM13,000 dan RM15,000 berhubung perniagaan rumah urut.

Dia yang diwakili peguam Noor Mousa Azaddin, dituduh melakukan tiga kesalahan meminta dan menerima rasuah daripada Gilbert Juin anak Damu sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen Rawatan Kesihatan daripada Jabatan Perlesenan Pembangunan DBKL untuk menjalankan perniagaan rumah urut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dua tempat berbeza iaitu di Coffee House, Menara Commerce, Jalan Raja Laut dan Angel Massage Centre, Blok F-45-1, Platinum Walk, No 2 Jalan Langkawi, Setapak, pada 4, 10 dan 27 April 2018.

Bagi kesalahan pertama, pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan bagi kesalahan kedua serta ketiga mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Qairul Redza diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Di hadapan Hakim Rozina, Khairil Faezi yang juga pembantu tadbir di DBKL dan Qairul Redza didakwa secara bersama meminta satu suapan wang tunai sebanyak RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap rumah urut Angel Massage Centre.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Restoran Paparich. No 1, Jalana Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, Setapak, pada 10 malam 3 Mei 2018  mengikut Seksyen 16(a)(B) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina membenarkan Khairil Faezi, 32, diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tanpa syarat tambahan manakala Qairul Redza dibenarkan mengguna pakai jaminan dan syarat sama seperti yang diberikan oleh Hakim Azman.

Hakim Azman dan Hakim Rozina menetapkan 23 April untuk sebutan semula kes Qairul Redza dan Khairil Faezi.

Di hadapan Hakim Azura, ASP Sherman, 42, Ketua Balai Polis Setapak dan Lans Koperal Faizal Miza, 35, didakwa secara bersama meminta suapan wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Gilbert Juin, sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Angel Massage Centre.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Hayaki Kopitiam, 87-G, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Setapak, antara 8 malam hingga 10 malam, pada 27 Nov 2018, pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa. 

Sherman yang diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad, dan Faizal Miza yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, juga berdepan dengan satu pertuduhan menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap premis sama.

Sherman dan Faizal Miza dituduh melakukan kesalahan itu di Dobi Speedy Wash dan Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di Setapak pada 3 Dis 2018 dan 11 Jan 2019.

Sementara itu, Mohd Fadzli, 48, seorang Pegawai Bomba di Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, didakwa telah bersetuju menerima suapan wang tunai RM500 daripada Gilbert Juin sebagai dorongan untuk menyokong permohonan kelulusan lesen perniagaan premis bagi Redantz KL Enterprise.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan kesalahan itu di premis Angel Massage Centre, antara pukul 8 malam hingga 11 malam, pada 5 Nov 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta  sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sherman dan Faizal Miza diikat jamin  RM10,000 bagi semua pertuduhan, manakala Mohd Fadzli dibenar ikat jamin sebanyak RM7,000, masing-masing dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan mereka sebulan sekali dan menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Abdul Rashid Sulaiman.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...