Skip to main content

Pegawai kanan polis tidak mengaku bersalah terima rasuah RM1.35 juta


KUALA LUMPUR -- Seorang pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.35 juta daripada dua lelaki sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, dua tahun lalu.

ASP Gan Chee Liang, 36, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Gan didakwa telah secara rasuah menerima daripada Lim Chok Siong, 41, untuk diri sendiri sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia, suatu suapan wang tunai RM800,000 dan RM175,000, sebahagian daripada RM1.5 juta sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara iaitu kononnya sebagai balasan menyelesaikan kes Victor Goh, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di jalan pirau PJ, Bangsar, di sini pada 29 Mac 2017 dan di papan tanda BHP, Stesen Minyak BHP, Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, Ampang, Selangor, pada 30 Mac 2017.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Gan didakwa atas tuduhan sama menerima daripada Yeong Kok Wah, 51, suatu suapan wang tunai RM300,000 dan RM75,000, sebahagian daripada jumlah RM375,000, yang telah dipersetujui sebagai upah menyelesaikan kes Victor Goh di bawah seksyen serupa.

Kedua-dua kesalahan  itu didakwa dilakukan di Holiday Palace Reflexology, Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu, di sini pada 28 April dan 13 Jun 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warganegara Malaysia mengambil kira tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Gan memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan yang tinggi.

“Penjamin adalah adik perempuan tertuduh, seorang guru tadika dan abang tertuduh, penyelia tapak pembinaan. Tertuduh hanya dimaklum semalam akan dituduh di mahkamah hari ini, tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan tinggi. Tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM10,000,” katanya dan menambah Gan telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM dan bersedia dengan syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Azman membenarkan Gan diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bagi keempat-empat pertuduhan serta dua syarat tambahan iaitu Gan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...